Malaysia, Asean timbang nuklear jadi sumber tenaga baharu

Malaysia, Asean timbang nuklear jadi sumber tenaga baharu

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata agensi Petra, MyPower, diberi peranan laksana kajian guna tenaga nuklear.

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air, berkata negara perlu pastikan bekalan tenaga terjamin dengan nuklear antara sumbernya.
PETALING JAYA:
Malaysia dan beberapa negara Asean secara asasnya bersetuju menimbang penggunaan tenaga nuklear menjadi antara sumber tenaga baharu terutama bagi menguasakan ekonomi digital.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata negara jiran yang mempertimbangkan penggunaan tenaga baharu itu adalah Singapura, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar, dan Thailand.

“Dalam usaha memastikan pembangunan ekonomi negara, bekalan tenaga kepada industri, terutamanya ekonomi digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan pusat data yang menggunakan tenaga, kita perlu memastikan bekalan tenaga yang terjamin. Maka, kerajaan kini turut mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumbernya.

“Baru-baru ini di Korea Selatan, dalam Mesyuarat Menteri Tenaga Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) turut dipersetujui nuklear adalah satu daripada pilihan bagi negara-negara Apec untuk memastikan bekalan tenaga bersih,” katanya menurut Bernama.

Fadillah yang juga menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), berkata kebanyakan loji tenaga nuklear daripada generasi kedua hingga generasi ketiga berkembang dengan baik dari segi teknologi dan keselamatan, alam sekitar, serta penerimaan masyarakat dunia.

“Di peringkat rantau Asia, beberapa negara juga sudah bersetuju menilai penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga termasuklah Singapura, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar, dan Thailand.

“Pada asasnya, mereka memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumber mereka,” katanya ketika berucap pada Malam Media Petra, di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata agensi di bawah Petra, MyPower sudah diberi peranan melaksanakan kajian penggunaan tenaga nuklear, namun penggunaan tenaga itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Beliau berkata, selain penjanaan kuasa, negara juga perlu melihat kepada sistem grid pintar memandangkan tenaga solar dan tenaga boleh baharu masih tidak stabil.

“Disebabkan itu, kerajaan kini sedang mengkaji, untuk menambah baik sistem grid, dan kembali kepada sistem grid pintar, supaya ia lebih cekap dalam penyimpanan tenaga, penggunaan tenaga serta dapat dipantau,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.