
Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata pistol milik konstabel berusia 26 tahun itu turut dilarikan suspek dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi tadi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Pulai yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah mengesan sebuah kereta mencurigakan di kawasan Taman Desa Pakatan.
Katanya, kereta itu enggan berhenti dan terus memecut menyebabkan polis mengejarnya sebelum suspek memberhentikan kenderaan di kawasan kebun sawit.
Menurutnya, pergelutan menyusul antara suspek dan anggota polis yang cuba menahannya.
“Suspek berjaya merampas pistol anggota terbabit lalu melepaskan tembakan ke arah perut mangsa sebelum menikamnya. Suspek kemudian melarikan diri bersama pistol itu,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, anggota polis itu sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan dalam keadaan stabil.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kereta suspek menemui mayat seorang wanita belum dikenal pasti identiti di tempat duduk belakang.
“Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik HRPB bagi mengenal pasti identiti serta punca kematian wanita tersebut,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Katanya, polis giat mengesan suspek dan orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Fadli Ahmad di talian 012-2500019 bagi membantu siasatan.