
Katanya, orang ramai sepatutnya menghormati proses keadilan yang sedang berjalan.
“Kita faham proses ini melibatkan ramai saksi, dokumen, dan pelbagai aspek lain. Justeru, kesabaran diperlukan kerana inkues ini dilaksanakan untuk memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk mangsa dan keluarga mangsa,” katanya menurut Bernama di Kota Bharu.
Dusuki menegaskan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu proses keadilan, termasuk mengugut saksi.
“AGC memandang serius ugutan diterima Dr Jessie Hiu kerana keterangannya amat penting bagi membantu Mahkamah Koroner mencapai keputusan yang adil, sekali gus memastikan keadilan untuk semua pihak.
“Sebarang ugutan, perbuatan negatif atau tingkah laku yang boleh mengancam keselamatan saksi tidak boleh dipandang ringan.”
Terdahulu, polis menahan seorang lelaki berusia 61 tahun di Semporna kira-kira 7 pagi tadi di pekarangan IPD Semporna kerana disyaki mengugut pakar patologi yang terlibat dalam inkues berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun, berkata tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan Jessie berhubung ugutan diterimanya selepas tampil memberi keterangan di Mahkamah Koroner dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara.
Zara, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu selepas dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya, setelah ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.