
Sumber parti memberitahu FMT bahawa perwakilan tersebut, yang juga seorang ketua bahagian dipanggil ke IPD Shah Alam.
FMT tidak mendedahkan nama perwakilan itu sementara menunggu ulasannya, selain turut menghubungi polis Shah Alam bagi butiran lanjut.
Sumber itu berkata, dua laporan polis telah dibuat oleh Afiq Nardin, komander briged Pemuda Bersatu yang juga ketua Pemuda Bersatu Selangor.
Menurut sumber, satu laporan dibuat pada malam tadi dan satu lagi hari ini.
Pada sidang media, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, berkata satu aduan berasingan telah dikemukakan kepada Lembaga Disiplin parti, menggesa tindakan diambil terhadap perwakilan terlibat insiden itu.
Beliau berkata, pihak yang mencetuskan kekecohan itu telah memohon maaf.
Kekecohan tercetus selepas Presiden Muhyiddin Yassin, mendedahkan dalam ucapan dasarnya terdapat pihak tertentu mengumpul tandatangan untuk menyingkirkannya.
Beliau memberi amaran jika tandatangan boleh digunakan untuk menyingkirkan presiden, perkara sama juga boleh dilakukan terhadap pemimpin lain di pelbagai peringkat parti.
Muhyiddin turut mengingatkan perwakilan supaya menghormati perlembagaan dan peraturan Bersatu, serta mengekalkan ketertiban dan keharmonian.
Sebagai reaksi, majoriti perwakilan melaungkan sorakan ‘Hidup Tan Sri’ sebagai tanda sokongan kepada Muhyiddin.