Hanya Anwar pilihan wajar tangkis ancaman ekstremisme, kata wartawan veteran

Hanya Anwar pilihan wajar tangkis ancaman ekstremisme, kata wartawan veteran

Bekas editor The Straits Times Yap Koon Hong percaya Anwar Ibrahim paling berpotensi realisasikan impian kepelbagaian kaum di Malaysia.

Notes To Myself And You by Yap Koon Hong
Golongan bawahan Melayu yang kurang berkemampuan di bandar dan luar bandar berpeluang lebih cerah untuk setara dengan kelas menengah Melayu bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata Yap Koon Hong dalam bukunya.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim satu-satunya pilihan wajar untuk menangkis ancaman ekstremisme yang kini dihadapi negara, kata wartawan veteran terkemuka.

Yap Koon Hong berkata, kepimpinan Anwar sebagai perdana menteri berpotensi menyingkap ‘holy grail’ kepelbagaian kaum di negara ini.

Katanya, ekosistem dibawa presiden PKR itu menjanjikan penyusunan semula sosial dan ekonomi secara radikal.

Beliau berkata, perubahan diperkenalkan Anwar berupaya menaik taraf golongan bawahan Melayu di bandar dan luar bandar bagi mencapai kesetaraan dengan kelas menengah Melayu bandar yang maju serta selesa dalam masyarakat majmuk.

“Prospek ini membawa harapan untuk mewujudkan pengundi Melayu-Malaysia yang yakin dan rasional, yang lebih mengutamakan kepelbagaian kaum berbanding ekstremisme perkauman,” tulis Yap dalam bukunya bertajuk ‘Notes To Myself And You’.

Yap yang juga bekas editor akhbar Singapura The Straits Times mendakwa, tanpa ekosistem progresif dibawa Anwar, Malaysia akan berdepan ‘alternatif politik yang menggerunkan’, iaitu Perikatan Nasional (PN) pimpinan PAS.

Menurutnya, PAS bawah pimpinan Presiden Hadi Awang, bertekad menongkah arus gagasan Malaysia sederhana yang diperjuangkan oleh Anwar.

Yap mendakwa, jika parti berasaskan Islam itu memerintah negara, ia dijangka melaksanakan dasar disifatkan sebagai ‘kuno’, termasuk meminggirkan meritokrasi, toleransi antara agama dan budaya, serta kedaulatan undang-undang sekular.

“Menerusi Pakatan Harapan, Anwar memastikan kelangsungan sebuah negara Malaysia pimpinan Melayu yang aman, bertoleransi dan bertenaga, merangkumi pelbagai kaum, agama, budaya serta fahaman politik,” catatnya.

Yap juga memuji kepimpinan Anwar dan menyifatkannya sebagai pemimpin yang ‘membawa banyak sumbangan’ untuk Malaysia.

Mengambil kira rentetan cabaran tanpa henti yang terpaksa dihadapinya berbanding pemimpin terdahulu, Anwar membuktikan dirinya seorang pemimpin yang baik dan berkesan, kata Yap.

“Anwar masih berpeluang menjadi pemimpin yang hebat, jika beliau dapat mengelak perangkap yang sama seperti seteru utamanya, Dr Mahathir Mohamad, iaitu keghairahan terhadap kuasa sehingga mengorbankan perancangan peralihan kepimpinan yang mantap dan tersusun,” katanya.

Buku ‘Notes To Myself And You’ kini boleh didapati di Amazon Prime dalam bentuk elektronik, manakala versi cetak hanya tersedia di Malaysia dan Singapura melalui pembelian dan penghantaran terus.

Pembaca yang ingin membeli buku ini berharga RM60, boleh menghubungi [email protected] atau menelefon 017 3350 855.

Sebagai alternatif, pembaca berminat boleh menghubungi CK Yap di talian 012 7932366.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.