BN akan minta penjelasan MIC hadir Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu

BN akan minta penjelasan MIC hadir Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu

Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata MIC perlu memberi penjelasan bertulis kerana Bersatu bukan sebahagian BN, sebaliknya parti pembangkang.

K.Kesavan MIC-Hilman Idham
Timbalan Ketua Pemuda MIC K Kesavan dilaporkan menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu ke-8 di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam semalam.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) akan menghantar surat rasmi kepada MIC meminta penjelasan tindakan seorang pemimpin sayapnya menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu semalam.

Pengerusi BN, Zahid Hamidi, berkata MIC perlu memberi penjelasan bertulis kerana Bersatu bukan sebahagian BN, sebaliknya parti pembangkang.

“Kita serahkan kepada kepimpinan MIC untuk mengambil sebarang tindakan disiplin berdasarkan peraturan partinya dan mereka juga akan diminta setiausaha agung BN memberikan penjelasan secara bertulis kenapa menghantar wakil.

“Ia manifestasi tidak baik dan tidak sepatutnya mana-mana wakil parti komponen BN menghadiri persidangan anjuran parti di luar kerajaan Madani, sama ada atas kapasiti peribadi mahupun rasmi,” katanya menurut Sinar Harian selepas merasmikan Program Motivasi Desa Kemas dan Bakti Madani UiTM di Bagan Datuk.

Semalam, Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan dilaporkan menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu kali ke-8 di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam.

Kesavan dilihat duduk di barisan depan bersama Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin ketika Ketua Pemuda Bersatu, Muhammad Hilman Idham menyampaikan ucapan dasar.

Perwakilan turut bersorak apabila MIC disebut dalam ucapan alu-aluan Hilman yang juga Adun Gombak Setia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.