
Timbalan pengerusi BN berkata, pimpinan parti itu tidak seharusnya mengambil jalan singkat mengeluarkan kenyataan di luar dewan tertinggi kerana bimbang disalahertikan.
“Kalau ada pandangan, beritahulah…jangan isi hati dipendam dalam mesyuarat tapi di luar cakap lain, tak elok macam itu,” katanya menurut Berita Harian di Seremban.
Mohamad yang juga timbalan presiden Umno menyuarakan kebimbangan keharmonian BN boleh terjejas dengan tindakan dan kenyataan dibuat di luar.
“Jika ada apa-apa hasrat, kemukakan kepada platform Dewan Tertinggi BN yang selama ini menjadi forum kepada semua parti gabungan dalam BN termasuk Umno dan MCA.
“Tak usahlah kita bercakap di luar, sebab kadang-kadang boleh disalah erti, maka ada baiknya pemimpin parti komponen bertemu dan berbincang menerusi Dewan Tertinggi BN.”
Beliau mengulas kenyataan beberapa pemimpin MIC memberi bayangan parti itu berhasrat keluar BN.
Terdahulu, MIC Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Wilayah Persekutuan meluluskan usul parti meninggalkan gabungan berkenaan.
Pada 16 Ogos lalu, Presiden SA Vigneswaran mengakui MIC ada melakukan perbincangan tidak rasmi dengan Perikatan Nasional (PN), yang menyentuh hala tuju parti itu.
Parti terkuat dalam PN, PAS berkata ia terbuka untuk bekerjasama dengan MIC malah Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Balachandran Gopal Krishnan berkata mereka pernah bersama semasa pentadbiran lalu.