Tiada cadangan dakwa individu lain hingga inkues Zara selesai

Tiada cadangan dakwa individu lain hingga inkues Zara selesai

Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar berkata hanya lima pelajar perempuan yang didakwa berhubung kes itu.

Zara Qairina
Pada 3 Sept inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina Mahathir bermula di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak bercadang mendakwa individu lain berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir sehingga prosiding inkues di Mahkamah Koroner selesai.

Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, berkata hanya lima pelajar perempuan yang didakwa berhubung kes itu.

“Justeru, setakat ini tiada cadangan untuk menuduh mana-mana suspek sehingga prosiding inkues selesai. Selepas prosiding berkenaan selesai, kita akan melihat semula dan tindakan akan dilakukan berdasarkan hasil inkues.

“Sekarang pakar patologi yang memberi keterangan pada prosiding inkues yang akan berlangsung sebagaimana ditetapkan,” katanya menurut Berita Harian di Kota Bharu.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Program Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara 2025.

Sebelum ini, media melaporkan lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, bulan lalu.

Kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, pada prosiding dijalankan secara tertutup.

Pada 3 Sept, inkues bagi menentukan punca kematian pelajar Tingkatan 1 itu bermula di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Inkues selama 19 hari dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept serta 22 hingga 30 Sept dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku koroner.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.