PAS sedia sertai Konvensyen Melayu Bandar

PAS sedia sertai Konvensyen Melayu Bandar

PAS yakin hanya melalui wadah kesatuan Islam dan Melayu dapat menyelamatkan negara daripada sebarang kerangka undang-undang yang berpotensi menzalimi rakyat.

AHMAD_FADHLI_SHAARI
Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata PAS berpandangan suara kolektif umat Melayu-Islam perlu diangkat secara serius dalam menggubal dasar atau undang-undang berkaitan pembangunan bandar.
PETALING JAYA:
PAS sedia untuk turut sama jika dijemput dalam apa jua perbincangan atau konvensyen dianjurkan khususnya yang melibatkan parti Melayu, kata Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari.

Menghargai keterbukaan Umno dalam mengumumkan penubuhan pasukan khas meneliti dan memperhalusi Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB), Fadhli berkata langkah itu menunjukkan kesediaan mengkaji secara mendalam implikasi undang-undang tersebut terhadap rakyat.

Katanya, PAS yakin hanya melalui wadah kesatuan Islam dan Melayu dapat menyelamatkan negara daripada sebarang kerangka undang-undang yang berpotensi menzalimi rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, PAS berpandangan suara kolektif umat Melayu-Islam perlu diangkat secara serius dalam menggubal sebarang dasar atau undang-undang berkaitan pembangunan bandar.

“Agar ia tidak mengabaikan kepentingan rakyat bawahan, keadilan sosial serta keseimbangan pembangunan. Insya-Allah, PAS akan terus komited memperjuangkan kepentingan rakyat bersama-sama.

“(Yakni) dengan mana-mana pihak yang ikhlas dalam agenda penyatuan ummah serta mempertahankan kesejahteraan negara,” katanya menurut Harakahdaily.

Pada 3 Sept lalu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, mengumumkan pelantikan Naib Presiden Johari Ghani mengetuai pasukan khas parti itu bagi penambahbaikan RUU PSB.

Katanya, pasukan khas itu bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU berkenaan secara terperinci sebelum membentangkannya dalam Konvensyen Melayu Bandar, hujung bulan ini.

“Konvensyen ini melibatkan kepimpinan tertinggi Umno di peringkat negeri dan bahagian seluruh negara, parti politik Melayu, NGO, ahli akademik, serta anggota masyarakat sivil.

“Resolusi di Konvensyen Melayu Bandar ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.

Pada 29 Ogos lalu, Presiden Umno Zahid Hamidi menegaskan keperluan memperluas sesi libat urus dengan kerajaan negeri, penduduk tempatan, serta pakar perancangan bandar sebelum RUU itu dibentangkan semula.

Perbahasan mengenai RUU itu ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat akan datang pada Oktober, susulan bantahan Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan, khususnya berhubung ambang persetujuan bagi projek pembangunan semula.

RUU PSB yang dibentangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk bacaan kali pertama pada 21 Ogos lalu, bertujuan menggantikan undang-undang dan peraturan lapuk berkaitan pembangunan semula kawasan bandar usang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.