
Ti Lian Ker berkata, MCA masih terperangkap dalam ‘kitaran penangguhan’ berhubung kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN), apabila kuasa membuat keputusan itu dialihkan daripada perwakilan bahagian kepada perwakilan negeri, dan akhirnya diserahkan kepada perwakilan pusat pada mesyuarat agung tahunan parti hujung tahun ini.
Berbeza dengan MCA, katanya, MIC bertindak lebih tegas dengan mempertahankan autonominya dan mencorak hala tuju politiknya sendiri, tanpa menunggu MCA.
“Kekecewaan mula berputik dalam kalangan ahli, yang merasakan kepimpinan MCA kini hanya berani bermain selamat.
“Jika pemimpin MCA gagal memimpin, akar umbi mungkin akan mencari haluan sendiri, meninggalkan kepimpinan pusat tercungap-cungap mengejar keadaan.
“Inilah antara sebabnya beberapa pemimpin Pemuda MCA lompat ke parti lain,” katanya di Facebook.
Ti juga mendakwa, Umno tidak lagi menunggu kata sepakat BN untuk membuat keputusan-keputusan besar, dan sedang mengukuhkan hubungan dengan DAP.
“MCA sebaliknya masih bermain bola di kawasan sendiri; permainan mungkin tamat sebelum mereka dapat tendang untuk menjaringkan gol.
“Namun dalam politik, tiada wisel penamat. Dan kelewatan sering kali merupakan keputusan paling mahal yang terpaksa dibayar,” katanya.
Pada Jun, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, 191 bahagian parti akan membincangkan hala tujunya berikutan rasa tidak puas hati terhadap kekurangan pengaruh parti itu dalam kerajaan, dan membawa usul mereka ke mesyuarat agung tahunan pada Oktober.
Sementara itu, MIC menyatakan kesediaannya untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti demi kelangsungan politiknya, demi perjuangan membela nasib komuniti India.
Bagaimanapun, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepimpinan tertinggi MCA dan MIC tidak pernah berbincang dengannya mengenai hasrat untuk meninggalkan gabungan itu.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Ketua Pemuda MIC K Kesavan menghadiri perhimpunan agung tahunan sayap Pemuda Bersatu.
Ia jemputan rasmi pertama yang diterima parti itu di tengah-tengah spekulasi Perikatan Nasional (PN) cuba menarik MCA dan MIC menyertai mereka.