
Keadaan menjadi tegang apabila perwakilan terbabit cuba menimbulkan kekecohan, namun ditenangkan beberapa perwakilan lain. Dalam keadaan kecoh itu juga terdapat beberapa perwakilan melaungkan slogan ‘hidup Tan Sri’ tanda sokongan terhadapnya.
Muhyiddin yang sedang berucap meminta semua ahli kembali duduk dan bertenang.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan ahli parti agar tidak menjatuhkan presiden secara tidak berperlembagaan memandangkan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) dalam kedudukan terbaik memenangi PRU16.
Beliau menyuarakan perkara itu susulan apa yang disebut gerakan ‘mengutip tandatangan’ demi menjatuhkannya.
“Ini tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti. Kalau presiden dijatuhkan melalui kutipan tandatangan, semua yang ada di atas pentas ini pun boleh dijatuhkan melalui cara sama.
“Ketua bahagian, ketua Pemuda, ketua Wanita, ketua Puteri, ketua bersekutu, dan semua ahli jawatankuasa bahagian pun boleh ditimpa nasib sama,” katanya semasa berucap pada acara itu yang diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) malam ini.
Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengingatkan ahli supaya menekankan ketertiban.
“Ingat, parti kita ini ada perlembagaannya. Ada peraturannya. Patuhilah perlembagaan parti kalau kita mahu parti kita ini tertib, elok, rukun, dan damai.
“Sedarlah saudara-saudari … berdasarkan sentimen rakyat, Bersatu dan PN sedang berada pada kedudukan terbaik untuk memenangi PRU16 dan membentuk kerajaan,” tambahnya.
Turut hadir, Ketua Bersekutu Bersatu Chong Fat Full; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan; Presiden Gerakan Dominic Lau; Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir; Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, serta Presiden Putra Ibrahim Ali.
Dalam pada itu, Muhyiddin menasihatkan seluruh ahli dan perwakilan Bersatu untuk berhenti berlawan sesama sendiri, sebaliknya merapatkan saf menuju PRU16.
“Nasihat saya, hentikanlah adu domba, elakkanlah sengketa sesama kita,” katanya.
“Buang segala sikap buruk yang melemahkan kita. Jangan jadi seperti pak kadok, menang sorak kampung tergadai. Jangan jadi seperti lebai malang, di sini terlepas di sana pun melepas.”