
Ng berkata, penduduk kawasannya menyaksikan sendiri bagaimana ketidakbersediaan boleh menimbulkan keresahan, justeru gegaran itu seharusnya menjadi peringatan bahawa Malaysia perlu membudayakan tahap kesiapsiagaan nasional yang lebih kuat.
Wakil rakyat DAP itu melahirkan kebimbangan terhadap jawapan yang diberikan berhubung beberapa isu keselamatan utama yang dibangkitkannya ketika sesi dialog bersama pegawai kanan kerajaan dan pelbagai agensi di Segamat pada Rabu.
Ng berkata, apabila beliau bertanya tentang latihan kecemasan awam, pegawai hanya memaklumkan mungkin diadakan pada Oktober tanpa sebarang maklumat lanjut mengenai agensi yang akan mengetuainya, lokasi atau kekerapan ia dijalankan.
Beliau berkata, ketika ditanya tentang keselamatan sekolah, pihak berkuasa memaklumkan lima sekolah mengalami kerosakan kecil, namun tiada pengesahan sama ada semua bangunannya telah diperiksa.
Menyentuh soal infrastruktur kritikal, beliau berkata pegawai tidak memberi jaminan sama ada peta saluran paip gas atau pelan infrastruktur telah diserahkan kepada pasukan penyelamat berkaitan.
“Ini adalah persoalan asas yang wajar dijawab dengan jelas oleh pihak berkuasa… (tetapi) saya amat bimbang kerana banyak jawapan yang diberikan birokrat terlalu kabur dan tidak meyakinkan,” katanya dalam kenyataan.
“Keadaan ini tidak menimbulkan keyakinan, malah tidak menenangkan keresahan penduduk Jementah dan kawasan lain yang terus hidup dalam keadaan tidak pasti. Pada masa yang paling memerlukan kejelasan, kita tidak sepatutnya berpuas hati dengan jawapan yang tidak lengkap atau mengelak.”
“Malaysia tidak boleh mengambil mudah seolah-olah bebas daripada bencana alam. Gegaran baru-baru ini membuktikan betapa cepatnya rasa takut dan kekeliruan boleh merebak, serta pentingnya sistem perlindungan dan jaminan keselamatan awam disediakan.”
Beliau menggesa supaya diwujudkan protokol jelas, komunikasi telus dan pelan tindakan nyata bagi membuktikan kesungguhan kerajaan melindungi keselamatan rakyat semasa bencana alam.
Ng turut menekankan bahawa hospital perlu dinilai dari segi keupayaan mereka menangani peningkatan mendadak jumlah mangsa sekiranya bencana berlaku.
Rabu lalu, gempa bumi bermagnitud 2.9 dikesan di kawasan Sri Medan, Parit Sulong, Johor.
Ia susulan beberapa gegaran yang direkodkan di Segamat sejak 24 Ogos: gegaran bermagnitud 4.1 diikuti 2.8 pada pagi yang sama, serta gegaran lain pada 27 Ogos (3.2), 28 Ogos (2.5), 29 Ogos (3.4) dan 30 Ogos (2.7).
Satu gegaran bermagnitud 2.8 turut direkodkan di Yong Peng, 28km barat laut Kluang, pada 24 Ogos.
Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Zamri Ramli mencadangkan jawatankuasa teknikal gempa bumi – yang kali terakhir aktif pada 2020 – diaktifkan semula untuk menyelaras kajian serta menilai semula risiko seismik di Malaysia susulan gegaran terbaru.
Beliau berkata jawatankuasa diselaras di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara itu, boleh meneliti semula data sedia ada bagi menyokong kajian dan pelan tindakan yang lebih tepat.