Tuntutan 40% hasil Sabah sedang diusaha, janji PN hanya retorik, kata pemimpin GRS

Tuntutan 40% hasil Sabah sedang diusaha, janji PN hanya retorik, kata pemimpin GRS

Joniston Bangkuai berkata pentadbiran Hajiji Noor sudah berunding dengan Putrajaya dengan geran khas Sabah dinaikkan kepada RM600 juta sementara menunggu tuntutan 40% dilaksanakan.

joniston bangkuai
Joniston Bangkuai berkata GRS sebagai parti tempatan lebih memahami keperluan dan keutamaan Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pentadbiran Hajiji Noor sedang menyelesaikan usaha menuntut kembali 40% hasil persekutuan diperoleh dari Sabah kepada kerajaan negeri, kata seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sehubungan itu, Ketua Penerangan GRS Joniston Bangkuai menyifatkan janji PN untuk memasukkannya dalam manifesto sempena PRN tidak lebih retorik politik bagi menarik sokongan pengundi.

Menurut Adun Kiulu itu, GRS sebagai parti tempatan lebih memahami keperluan itu dengan kesungguhannya mengadakan sesi libat urus dengan Putrajaya yang menaikkan geran tahunan dari RM53 juta kepada RM600 juta tahun ini.

Jelas ketua penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkenaan, geran besar itu diberikan sementera menunggu proses tuntutan 40% yang sedang berjalan selesai.

“Janji PN itu lebih kepada retorik untuk meraih sokongan, beliau (Pengerusi PN Muhyiddin Yassin) pernah jadi perdana menteri serta timbalan perdana menteri.

“Tetapi bila hilang kuasa baru hendak bercakap isu 40% dan masalah kemudahan…saya yakin orang Sabah tak mudah terpedaya,” katanya kepada FMT.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Muhyiddin berkata mengembalikan 40% hasil persekutuan diperoleh dari Sabah kepada kerajaan negeri sebagai salah satu komitmen utama PN pada PRN akan datang.

Bekas perdana menteri itu berkata PN juga berhasrat memberi keutamaan kepada isu masalah infrastruktur, bekalan air dan elektrik yang masih belum selesai, sekiranya diberi mandat mentadbir negeri.

Formula perkongsian hasil itu telah menjadi isu berbangkit selama beberapa dekad. Ahli politik Sabah menuntut agar kerajaan persekutuan menunaikan hak negeri itu bagi 40% daripada jumlah yang melebihi hasil bersih yang diperoleh pada 1963.

Penggunaan formula tersebut telah digantung sejak 1974 apabila kerajaan persekutuan sebaliknya menaikkan pembayaran geran khas kepada Sabah dan Sarawak.

Pada Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerajaan persekutuan akan membuat keputusan berhubung cadangan Sabah untuk mendapatkan kembali hak 40% hasil bersih pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dijadualkan pada 12 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.