
Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Izham Ismail berkata purata usia pesawat baharu itu ialah tujuh tahun, jauh lebih baik berbanding purata semasa iaitu 12 tahun.
Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan Malaysia bersaing dengan syarikat penerbangan premium terkemuka di rantau Asia Pasifik dengan menawarkan laluan serantau permintaan tinggi serta koridor global utama.
“Kami sudah menerima enam A330neo dan 14 Boeing 737-8 sebagai sebahagian daripada program pemodenan pesawat.
“Pesawat ini akan mengukuhkan daya saing kami dan memberikan pengalaman lebih konsisten kepada pelanggan,” katanya pada sidang media.
Izham berkata MAG mencatat momentum kewangan positif pada separuh pertama 2025, apabila pendapatan bersih selepas cukai meningkat 39% berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan ini didorong pengukuhan ringgit, harga bahan api yang lebih baik serta kecekapan pesawat baharu kami,” katanya.
Ketua Pegawai Operasi MAG Nasaruddin A Bakar pula berkata Malaysia Airlines kini mengendalikan 86 pesawat dan akan mengoperasikan 310 penerbangan sehari menjelang suku terakhir tahun ini.
Penerbangan baharu, peningkatan kekerapan
Izham turut mengumumkan Malaysia Airlines akan menyambung semula penerbangan ke Chengdu pada Januari depan, manakala Firefly akan mula berkhidmat ke tiga destinasi baharu – Siem Reap, Cebu dan Krabi – pada November tahun ini.
Beliau berkata, peluasan ke Chengdu didorong pelaksanaan dasar kemasukan tanpa visa secara timbal balik antara Malaysia dan China baru-baru ini.
“Faktor muatan bagi destinasi baharu amat memberangsangkan. Kami sudah menjual 20,000 tempat duduk ke Chengdu. Berdasarkan analisis, kami menjangka faktor muatan sekitar 90%,” katanya.
Izham menegaskan MAG bersedia menangani sebarang masalah rantaian bekalan yang mungkin menjejaskan kekerapan penerbangan ke destinasi baharu, dengan pesawat gantian disiapkan bagi menghadapi sebarang keadaan tidak dijangka.
Malaysia Airlines dan Firefly juga akan meningkatkan kekerapan penerbangan ke beberapa destinasi antarabangsa seperti Australia, New Zealand, China, Asia Selatan dan Singapura, selain destinasi domestik.
Bagaimanapun, Izham berkata Malaysia Airlines tidak bercadang menyambung semula penerbangan ke Amerika Utara dalam tempoh lima tahun akan datang kerana kekangan kewangan, namun rantau itu masih dihubungkan kepada pelanggan melalui rangkaian perkongsian kod.
“Kami mempunyai cita-cita besar tetapi perlu berhati-hati menguruskan dana. Kami tidak boleh berbelanja sewenang-wenangnya hingga kembali ke situasi 10 tahun lalu,” katanya.