Malaysia Airlines peroleh semula sijil pengendali udara 3 tahun

Malaysia Airlines peroleh semula sijil pengendali udara 3 tahun

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengurangkan tempoh sah sijil itu kepada setahun Ogos lalu berikutan masalah operasi syarikat penerbangan nasional tersebut.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines Bhd Nasaruddin Bakar berkata banyak tambah baik telah dibuat sepanjang 12 bulan lalu. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Malaysia Airlines Bhd telah mendapat semula sijil pengendali udara (AOC) tiga tahun daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) selepas dipendekkan kepada hanya setahun pada Ogos tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines Bhd (MAB) Nasaruddin Bakar berkata sijil baharu itu diberikan selepas satu audit dijalankan dua bulan lalu.

“Kami baru sahaja menyiapkan audit. Banyak penambahbaikan telah dilakukan sepanjang 12 bulan lalu di seluruh Malaysia Aviation Group (MAG) dan Malaysia Airlines, khususnya berkaitan keselamatan,” katanya selepas satu program di sini.

Nasaruddin berkata MAG juga telah mengukuhkan usaha pengambilan pekerja untuk mengurangkan kadar berhenti kerja, terutamanya dalam sektor kejuruteraan.

Pada Ogos tahun lalu, CAAM berkata ia mengurangkan tempoh sah AOC syarikat penerbangan itu daripada tiga tahun kepada setahun berikutan masalah operasi yang menyebabkan kelewatan penerbangan kerap berlaku dan pengurangan laluan.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, ketika itu berkata Malaysia Airlines telah diarahkan untuk mengemukakan laporan bulanan mengenai pelaksanaan pelan mitigasi berkaitan operasinya.

Loke turut berkata siasatan CAAM ke atas Malaysia Airlines dan anak syarikatnya, MAB Engineering Services, mendapati isu komponen mekanikal dan kekurangan tenaga kerja mahir dalam penyelenggaraan boleh menjadi punca kepada masalah teknikal yang dihadapi Malaysia Airlines.

Beliau juga berkata kekurangan pekerja mahir menjejaskan keupayaan syarikat untuk meningkatkan tahap sistem pengurusan keselamatan, dan pengunduran 63 pekerja dari MAB Engineering Services menyumbang kepada kekurangan tenaga kerja itu.

MAB Engineering Services bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan pesawat syarikat penerbangan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.