
Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia Sivamurugan Pandian berkata, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang menerajui parti itu sejak ditubuhkan pada 2016, kini berdepan dengan suara-suara tidak puas hati dalaman.
Beliau berkata, walaupun ada kem yang masih taat setia kepada Muhyiddin, terdapat satu lagi kem yang mendesak peralihan pucuk pimpinan bagi menyuntik semangat baharu kepada parti menjelang PRU16, yang dijangka berlangsung dalam dua tahun lagi.
“Ada pihak yang mahukan nakhoda baharu untuk harungi pilihan raya akan datang. Sebab itulah munculnya surat-surat layang ini,” katanya kepada FMT.

“Muhyiddin boleh guna platform PAT kali ini untuk menyatakan pendiriannya – sama ada kekal terajui gabungan ini hadapi PRU16 dan lerai segala desas-desus dan spekulasi, atau maklumkan secara tuntas bila hendak letak jawatan.”
PAT Bersatu dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Sept di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, tokoh berusia 78 tahun itu masih mampu mempertahankan kuasanya kerana pihak yang menentangnya masih gagal mencapai kata sepakat. Menurutnya, segala muslihat dalaman untuk menyingkirkan Muhyiddin setakat ini tidak berhasil.
“Gerakan dalaman itu diatur secara halus, namun tidak berjaya, dengan Muhyiddin berupaya tepis percaturan tersebut,” katanya.

“Terdapat kem yang berpendapat, untuk suntik keyakinan yang lebih tinggi dalam kalangan ahli Bersatu, mereka perlu letakkan Muhyiddin sebagai penasihat, mirip kedudukan Lim Guan Eng dalam DAP.”
Hierarki kepimpinan Bersatu meletakkan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin sebagai orang nombor dua, diikuti oleh setiausaha agung parti yang juga penyokong kuat Muhyiddin, Azmin Ali.
Kem yang berhasrat menggulingkan Muhyiddin mahu Hamzah mengambil alih tampuk pimpinan, dengan dakwaan jawatan presiden telah dijanjikan kepadanya menerusi satu persetujuan yang turut menyaksikan Azmin dilantik sebagai setiausaha agung.
Namun, satu surat layang yang dilihat FMT menuduh Hamzah membuat dakwaan palsu berhubung haknya ke atas jawatan tertinggi parti itu.
Surat tersebut mendakwa ‘Konsensus Gopeng’ yang dicapai pada Disember 2023 hanyalah suatu persefahaman yang memberi mandat kepada Muhyiddin untuk merangka formula kepimpinan terbaik bagi pemilihan parti tahun lepas.
Surat itu turut menuduh Hamzah cuba menggugat kedudukan Muhyiddin sebagai presiden dan menyebar fitnah bagi mewujudkan perpecahan dalam Bersatu.
Sivamurugan berpandangan, Bersatu wajar memanfaatkan platform PAT kali ini untuk mempamerkan keutuhan parti.
“Desas-desus surat layang, sentimen dan serangan peribadi ialah lumrah dalam arena politik, malah kewujudan dua atau tiga kem dalam sesebuah parti – itu juga bukan perkara luar biasa.
“Ia suatu cabaran yang perlu didepani oleh mana-mana pemimpin. Namun, mereka harus jadikan perhimpunan ini pentas untuk zahirkan perpaduan dan komitmen yang jitu, sekali gus tampilkan diri sebagai alternatif berwibawa kepada kerajaan dengan menggariskan dasar-dasar yang bernas.”

Sementara itu, penganalisis politik Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meramalkan, Muhyiddin dan Hamzah berkemungkinan besar akan mempamerkan imej bersatu-padu pada PAT.
“Mereka akan kelihatan seia sekata, tetapi pendekatan yang diambil untuk menterjemahkannya pasti menarik untuk diperhatikan,” katanya kepada FMT.
Dilema ‘poster boy’ PN
Satu lagi dilema yang menyelubungi parti ialah persoalan yang masih tergantung mengenai siapa yang akan menerajui gabungan pembangkang sebagai calon perdana menteri, dan lanjutan daripada itu, tampil sebagai ‘poster boy’ bagi menghadapi PRU16.
“Pada masa ini, ‘poster boy’ PN ialah Muhyiddin, namun isu mungkin berbangkit kerana wujudnya beberapa pihak yang mungkin tuntut lebih daripada seorang ‘poster boy’, barangkali tiga orang, termasuk calon-calon PAS.”
Susulan PRN lepas – yang menyaksikan PAS muncul sebagai parti dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat – beberapa pemimpin utamanya, termasuk presiden parti, Hadi Awang dan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, diuar-uarkan sebagai calon berpotensi untuk menjadi ‘poster boy’ gabungan pembangkang itu dalam kempen pilihan raya akan datang.
Melayu atau Malaysia dahulu?
Namun, di sebalik semua itu, teras kepada kemelut yang melanda Bersatu ialah persoalan hala tuju parti, di tengah-tengah kesedaran bahawa sokongan bukan Melayu amat penting bagi gabungan pembangkang dalam cita-citanya untuk merampas tampuk kuasa.
Syaza menjangkakan ‘strategi lebih besar’ Bersatu akan diteliti.
“Bagaimana mereka akan damaikan parti-parti bukan Melayu dengan Bersatu, sebuah parti berteraskan nasionalisme Melayu? Apakah strategi yang akan diguna pakai selepas ini?
“Adakah ia berlandaskan ‘Melayu dahulu’, atau kini ‘Malaysia dahulu’?” soalnya merujuk kenyataan yang pernah dibuat Muhyiddin 15 tahun lepas ketika menjadi timbalan perdana menteri dalam pentadbiran Najib Razak.
Ketika itu, bagi menjawab persoalan daripada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, sama ada beliau menyokong sepenuhnya konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Najib, Muhyiddin menegaskan: “Saya Melayu dahulu. Tetapi jadi Melayu bukan bermakna kita bukan rakyat Malaysia. Ini bukan isu perkauman.”
Namun, baru-baru ini, presiden Bersatu itu cuba meredakan kenyataan tersebut dengan mendakwa, beliau ‘Melayu yang prihatin terhadap semua rakyat Malaysia’.
Persoalannya, adakah itu memadai untuk meyakinkan pengundi bukan Melayu?
Kemelut dengan PAS
Selain itu, wujud pergeseran yang berlarutan antara Bersatu dengan PAS, yang berpaksikan tuntutan bahawa parti berasaskan Islam itu lebih wajar menerajui PN, memandangkan Bersatu hanya menguasai 25 kerusi di Dewan Rakyat.
Namun, Azmi berpandangan, tidak wajar sekiranya perkara itu dibangkitkan semasa PAT.
“Berbeza dengan Bersatu, PAS berada pada kedudukan yang mantap. Lima jawatan tertinggi PAS tidak dipertandingkan. Kedudukan mereka stabil,” katanya.
Pada November lepas, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menegaskan, partinya lebih berhak menerajui PN kerana memiliki lebih ramai Ahli Parlimen serta jentera akar umbi yang lebih perkasa di seluruh negara.
Beliau turut membangkitkan isu beberapa wakil rakyat Bersatu yang telah beralih arah menyokong kerajaan perpaduan, berbeza dengan ahli PAS yang kekal taat setia kepada blok pembangkang.
Bersatu merupakan tunjang utama dalam ‘Langkah Sheraton’ pada 2020 yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, yang pernah dianggotainya.
Pada Mac tahun itu, Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri dan seterusnya menakhodai sebuah pentadbiran yang didominasi oleh orang Melayu. Beliau bagaimanapun kehilangan majoriti pada Ogos 2021, selepas hanya 17 bulan memegang tampuk kuasa, lalu meletak jawatan sebagai perdana menteri.
Sejak beberapa tahun lalu, Bersatu berdepan kesukaran untuk mengembangkan sayapnya, dan sering kali terpaksa bergantung kuat pada PAS untuk menggerakkan jentera pengundi di kawasan-kawasan majoriti Melayu.