Jangan sekat guru mahu bersara awal kerana hilang minat, kata ahli akademik

Jangan sekat guru mahu bersara awal kerana hilang minat, kata ahli akademik

Pensyarah kanan Fakulti Pendidikan UKM Anuar Ahmad berkata guru yang tidak lagi bersemangat mendidik tidak harus dipaksa kekal dalam sistem pendidikan.

Dewan Rakyat baru-baru ini diberitahu seramai 19,179 guru sekolah rendah dan menengah memilih bersara awal antara 2022 hingga Mei tahun ini, dengan lebih dua pertiga daripadanya menyatakan hilang minat sebagai punca.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik mencadangkan guru yang memohon untuk bersara awal dengan alasan ‘hilang minat’ dibenarkan keluar daripada sistem pendidikan tanpa halangan.

Pensyarah kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata guru yang tidak lagi mempunyai semangat mendidik seharusnya tidak dipaksa untuk kekal dalam sistem pendidikan negara.

“Kita selalu mendengar ungkapan ‘guru yang hebat bermula dengan nyala rasa jiwa seorang pendidik’. Sebab itu, bila ada sahaja guru yang memohon untuk bersara awal dengan alasan sudah tidak berminat, sebaiknya luluskan sahaja mereka bersara.

“Jangan ditangguhkan. Jangan ganggu mereka untuk memilih apa yang terbaik demi menjalankan kehidupan seterusnya,” katanya di Facebook.

Beliau mengulas pendedahan di Parlimen bahawa seramai 19,179 guru sekolah rendah dan menengah memilih untuk bersara awal antara 2022 hingga Mei tahun ini, dengan lebih dua pertiga daripadanya menyatakan hilang minat sebagai punca.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, jumlah guru yang bersara awal secara tahunan adalah 5,306 orang pada 2022; 6,394 (2023); 5,082 (2024); dan 2,397 sehingga Mei tahun ini.

Mengulas lanjut, Anuar menegaskan keutamaan sekarang adalah memastikan hanya guru yang benar-benar bersemangat dan ikhlas untuk mendidik kekal berada dalam sistem.

“Perkemaskan proses lantikan guru baru supaya guru-guru yang ada dalam sistem pendidikan negara adalah mereka yang benar-benar ada jiwa untuk mendidik anak-anak bangsa,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kebajikan dan kesejahteraan guru yang masih berkhidmat agar mereka terus bersemangat untuk mendidik.

“Guru yang sejahtera akan melahirkan murid yang berjaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.