
Ketua Polis Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad, berkata penipuan lelaki berusia 32 tahun itu terbongkar selepas siasatan dilakukan susulan laporan orang awam pada 8.17 malam.
Beliau berkata, pemandu lori terbabit dikatakan telah disamun tiga lelaki dan ditikam di bahagian perut pada 7.45 malam.
Abdul Rozak berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu mengalami luka tikaman sedalam 3.5cm dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Namun, beliau berkata siasatan lanjut mengesahkan lelaki itu sebenarnya bukan disamun dan ditikam tetapi mereka cerita kejadian tersebut untuk menipu majikan kerana telah membelanjakan kutipan hasil jualan produk syarikat.
Sehubungan itu, Abdul Rozak menasihati orang ramai agar tidak membuat laporan atau memberi maklumat palsu kerana ia merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.