Bekas pegawai penguat kuasa Singapura didakwa ‘jual maklumat’ serbuan vape

Bekas pegawai penguat kuasa Singapura didakwa ‘jual maklumat’ serbuan vape

Michael Anthony Pillay dituduh meminta rasuah SGD8,000 daripada seorang rakyat Malaysia Chua Wee Ming yang dikatakan dalang sindiket vape di Singapura.

vape
Chua Wee Wing didakwa dalang penyeludupan vape dari Malaysia ke Singapura serta pengedarannya di republik itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas kakitangan syarikat untuk Penguasa Sains Kesihatan (HSA) didakwa kerana meminta rasuah SGD8,000 (lebih RM26,000) daripada seorang rakyat Malaysia dikaitkan dengan sindiket vape di republik itu.

Michael Anthony Pillay, 34, didakwa dalam kapasiti beliau sebagai bekas ketua penyelia penguatkuasaan di WSH Experts, syarikat melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi pihak HSA.

Pillay dituduh meminta rasuah daripada Chua Wee Ming sebagai balasan memberi maklumat tentang serbuan agensi itu terhadap produk vape, lapor The Straits Times.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu beberapa kali tahun lalu.

Pada Oktober tahun lalu, Chua telah dituduh menipu dan menghalang proses keadilan. Kesnya didakwa melibatkan produk vape bernilai lebih SGD6 juta (RM19.6 juta).

Rakyat Malaysia itu dipercayai dalang penyeludupan vape dari negaranya ke Singapura serta menguruskan pengedaran di republik berkenaan.

Pada Mac 2024, dia bersama tiga lelaki lain didakwa memecah masuk sebuah gudang untuk mencuri produk berkaitan vape yang sebelum ini dirampas HSA.

Tiga yang lain ialah rakyat Singapura Elvin Suriaganandhan dan Lim Zhi Wei, serta seorang lagi rakyat Malaysia, Chee Wai Yuen.

Lim dipenjara lebih dua tahun, Chee lebih setahun, manakala Elvin enam minggu. Kes Chua masih dibicarakan di mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.