SKMM padam 31 akaun palsu salah guna nama pusat respons scam

SKMM padam 31 akaun palsu salah guna nama pusat respons scam

Orang ramai digesa berwaspada dan melaporkan akaun atau mesej meragukan kepada pihak berkuasa.

mcmc-skmm-mcmc
SKMM menegaskan penyalahgunaan bukan sahaja mengelirukan orang ramai malah menggugat usaha serta fokus Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC). (Gambar SKMM)
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenal pasti dan memadam 31 akaun palsu di Facebook yang menyalahgunakan nama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Dalam kenyataan, SKMM menegaskan penyalahgunaan itu bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah menggugat usaha serta fokus NSRC dalam melindungi masyarakat daripada jenayah penipuan dalam talian.

Katanya, maklumat rasmi mengenai NSRC hanya boleh diperoleh melalui saluran sah agensi penguat kuasa.

“Orang ramai juga digesa berwaspada dan melaporkan sebarang akaun atau mesej meragukan kepada pihak berkuasa.

“SKMM akan terus bekerjasama dengan polis, NSRC dan penyedia platform media sosial bagi mengekang penyebaran akaun serta maklumat palsu demi keselamatan pengguna internet di Malaysia,” katanya.

NSRC ditubuhkan pada 14 Okt 2022 sebagai pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian merangkumi pengesanan dana yang dicuri secara lebih cepat dan pengambilan tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.