PN janji tuntutan 40% hasil kepada Sabah jadi manifesto utama

PN janji tuntutan 40% hasil kepada Sabah jadi manifesto utama

Formula perkongsian hasil telah menjadi isu pertikaian selama beberapa dekad.

MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata isu-isu rakyat Sabah termasuk masalah infrastruktur, bekalan air dan elektrik yang tidak dapat diselesaikan akan diutamakan jika mereka diberi mandat mentadbir negeri.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) berjanji untuk mengembalikan 40% hasil persekutuan yang diperoleh dari Sabah kepada kerajaan negeri sebagai salah satu komitmen utamanya dalam PRN akan datang.

Pengerusinya PN, Muhyiddin Yassin, berkata janji itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan akan diketengahkan dalam manifesto gabungan itu bagi pilihan raya berkenaan.

“Apabila tiba masanya, kami akan bentangkan manifesto yang menyeluruh. Salah satu komitmen utama kami adalah tuntutan perlembagaan: pemulangan 40% hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah kepada kerajaan negeri,” katanya, menurut Utusan Malaysia. .

Bekas perdana menteri itu berkata PN juga berhasrat memberi keutamaan kepada isu-isu yang membelenggu rakyat Sabah, termasuk masalah infrastruktur, bekalan air dan elektrik yang masih belum selesai, sekiranya diberi mandat untuk mentadbir negeri.

Formula perkongsian hasil itu telah menjadi isu berbangkit selama beberapa dekad. Ahli politik Sabah menuntut agar kerajaan persekutuan menunaikan hak negeri itu bagi 40% daripada jumlah yang melebihi hasil bersih yang diperoleh pada 1963.

Penggunaan formula tersebut telah digantung sejak 1974 apabila kerajaan persekutuan sebaliknya menaikkan pembayaran geran khas kepada Sabah dan Sarawak.

Pada Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerajaan persekutuan akan membuat keputusan berhubung cadangan Sabah untuk mendapatkan kembali hak 40% hasil bersih pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dijadualkan pada 12 Sept.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata PN telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan sebuah parti politik untuk melihat kemungkinan mengadakan kerjasama menjelang PRN nanti.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut termasuk parti dan bentuk kerjasama yang dibincangkan.

“Sudah tentu, kerjasama itu bukan dengan Pakatan Harapan (PH) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kita akan lihat siapa yang mungkin berminat untuk bekerjasama, dan kita akan berbincang. PN bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang dianggap sesuai,” katanya.

PH mengadakan perjanjian pilihan raya berasingan dengan GRS dan Barisan Nasional (BN), walaupun kedua-dua gabungan itu enggan bekerjasama meskipun didesak oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sabtu lalu, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor memberi bayangan DUN Sabah bakal dibubarkan dalam masa terdekat, namun enggan mendedahkan tarikh sebenar pembubarannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.