
Yazid Othman berkata, landskap politik Malaysia yang terpecah-belah sejak 2018 melemahkan pegangan kerajaan persekutuan terhadap Petronas pada masa kuasa-kuasa luar menunjukkan minat lebih besar terhadap aset tenaga di rantau ini.
Beliau berkata, titik tolaknya datang selepas PRU 2018, apabila parti-parti pemerintah Sarawak terpisah daripada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan mula mendesak mendapatkan kawalan lebih besar ke atas sumber-sumber tempatan.
“Apabila kerajaan pusat lemah, dan apabila negeri seperti Sarawak tuntut lebih autonomi, ia buka ruang dan peluang kepada kuasa asing untuk ambil kesempatan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, firma-firma tenaga antarabangsa dan negara jiran telah memperluas penglibatan mereka dengan Sarawak, yang membangunkan syarikat milik negerinya sendiri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros), untuk meneroka sumber hidrokarbon negeri itu di samping Petronas.
“Ini bukan sekadar isu geopolitik. Ia percaturan kapitalisme dan politik yang saling berkait. Dan berbanding 20 tahun lalu, keadaannya jauh lebih rumit,” katanya.
Yazid berkata, selama berdekad-dekad di bawah pemerintahan BN, Petronas berfungsi sebagai sebuah institusi kebangsaan, menggabungkan sumber petroleum dari negeri-negeri pengeluar di bawah satu mandat eksklusif yang diletakkan pada syarikat itu oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA).
Aturan itu menjadikan syarikat minyak negara itu sumber pendapatan utama yang boleh dipercayai, menyalurkan puluhan bilion dividen yang membiayai pembangunan dan menstabilkan kewangan negara ketika kegawatan ekonomi, tambahnya.
Risiko politik Petronas
Seksyen 6 PDA meletakkan Petronas di bawah kuasa perdana menteri, sekali gus mengikat nasibnya dengan kepimpinan politik negara.
Menurut seksyen itu, tiada mana-mana entiti selain Petronas boleh memproses atau menapis petroleum, atau menghasilkan produk petrokimia, tanpa kebenaran perdana menteri.
Justeru, kata Yazid, nasib syarikat itu sangat berkait rapat dengan kelangsungan politik perdana menteri.
“Apabila perdana menteri kuat, Petronas juga kuat. Tetapi apabila perdana menteri berada dalam kedudukan yang lemah, Petronas juga akan goyah,” katanya.
Kebergantungan ini mencipta apa yang Yazid gambarkan sebagai satu gelung maklum balas yang berbahaya: Petronas mendanai kerajaan, tetapi ketidakstabilan kerajaan menjejaskan syarikat minyak negara itu.
Pada 28 Ogos, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menggesa agar rundingan antara Petronas dengan Petros dijalankan dengan lebih telus.
Hassan berkata, sikap terbuka amat penting memandangkan kerajaan persekutuan bergantung pada sokongan GPS untuk kestabilan.
Beliau turut memberi amaran, sebarang kekurangan ketelusan boleh mencetuskan persepsi bahawa konsesi dibuat semata-mata untuk mendapatkan sokongan.
Zaid pula menggesa akauntabiliti daripada Petronas dan Petros, dengan amaran bahawa kerahsiaan berisiko membawa kepada ‘tawar-menawar yang tidak adil’ antara kedua-dua pihak.
Beliau mencadangkan penubuhan sebuah kaukus Parlimen dwipartisan yang dianggotai oleh Ahli Parlimen dari Semenanjung dan Sarawak sebagai platform rasmi bagi dialog berstruktur dan pengawasan.
Dengan sempadan maritim Malaysia yang semakin dicabar dan pemerhatian teliti oleh kuasa asing, Yazid memberi amaran bahawa perpecahan politik bukan lagi sekadar isu domestik, tetapi menjadi kelemahan strategik negara.
“Apabila pusat (pentadbiran) tidak kuat, perpecahan akan mula terserlah. Pihak lain, sama ada golongan elit, syarikat korporat atau kuasa asing, akan ambil kesempatan. Dan ia membawa kesan yang sangat besar terhadap Petronas,” kata Yazid.