
Selain jawatan pengerusi tetap Pemuda PAS yang dimenanginya tanpa bertanding, Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut disahkan sebagai calon bagi kedudukan ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Adun Jerteh Riduan Md Noor yang dicalonkan untuk jawatan pengerusi tetap Pemuda PAS, menolak pencalonan berkenaan, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat (JKPP), Wan Rohimi Wan Daud.
Wan Rohimi juga mengesahkan Fadhli antara 30 calon yang akan merebut kerusi ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Beliau bakal berdepan antaranya Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim serta bekas menteri besar Perlis Shahidan Kassim.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan bekas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa antara lapan individu yang menolak pencalonan bagi jawatan berkenaan.

Menurut Wan Rohimi, pengesahan pencalonan dibuat selepas semua jawapan tawaran diterima dan diteliti jawatankuasa berkenaan dalam mesyuarat yang berlangsung Selasa lalu.
Muktamar PAS dijadualkan pada 11 hingga 16 September, bermula dengan persidangan sayap parti.