
Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata, suspek berusia 41 tahun yang sebelum ini direman tiga hari belum lagi dituduh di mahkamah.
“Reman tamat, kita rujuk suspek ke HBUK,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
“Kita masih menunggu perincian dan arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara (untuk tuduhan).”
Pada Isnin lepas, suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.
Ini susulan insiden wanita itu cuba mendekati Sultan Nazrin Shah di atas pentas utama ketika lagu kebesaran negeri Perak berkumandang pada acara tersebut, sebelum ditahan oleh pasukan keselamatan.
Menurut polis, wanita itu memiliki rekod lampau berhubung kes dadah, namun ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan negatif dadah.
Wanita itu juga mempunyai rekod menerima rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar.