
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata MIC dan MCA – yang pengaruhnya semakin merosot selepas PRU15 – sudah pasti diberikan kerusi majoriti bukan Melayu jika bertanding atas tiket PN, sekali gus menyaksikan mereka berdepan seteru utama, DAP.
“Tujuan pelawaan MCA/MIC masuk PN untuk menarik sokongan bukan Melayu… jadi sudah tentu mereka akan diletakkan di kerusi bukan Melayu yang mana lawan mereka adalah DAP.
“Hakikatnya, mereka akan disapu bersih atau mendapat tentangan hebat DAP,” katanya kepada FMT, sambil menambah mustahil PN akan memberi kerusi mudah atau kerusi ‘Melayu’ kepada dua parti itu seperti dilakukan Umno.
“Jadi demi survival MCA, MIC mereka harus kekal dan pertahankan BN walaupun tidak berpuas hati dalam gabungan diketuai Zahid Hamidi.”
Pada PRU15, MCA memenangi kerusi Parlimen Ayer Hitam dan Tanjung Piai, manakala MIC mempertahankan kerusi Tapah – semuanya kerusi majoriti Melayu.
Semalam, Zahid yang juga pengerusi BN mendedahkan ada cubaan ‘memancing’ MCA dan MIC menyertai PN menjelang PRU16. Kenyataan itu susulan pelawaan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada 31 Ogos lalu supaya kedua-dua parti bergabung dengan PN.
Bulan lalu, Presiden MIC, SA Vigneswaran mengesahkan parti itu mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan PN mengenai hala tuju politik. Sebelum itu, MIC Kedah meluluskan usul bekerjasama dengan PN dan keluar BN, manakala MIC Pulau Pinang turut bersetuju dengan cadangan keluar gabungan tersebut.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sunway, Wong Chin Huat, berpandangan langkah PN mendekati MCA dan MIC memberi isyarat parti bukan Melayu dalam gabungan tersebut – Gerakan dan MIPP – gagal menarik sokongan pengundi bukan Melayu.
“Kalau mereka berfungsi, apa perlunya PN menarik MCA dan MIC?” soalnya.
Namun, Wong turut meragui kemampuan MCA dan MIC membawa sokongan besar pengundi bukan Melayu kepada PN, kerana sebahagian masih khuatir dengan sentimen ekstremis sering dikaitkan dengan PAS.
“Apa yang PN harapkan ialah MCA dan MIC boleh mengurangkan ketakutan itu. Kalau kadar keluar mengundi pengundi bukan Melayu, terutama Cina menurun, PN sudah boleh merampas banyak kerusi marginal,” katanya.
Menyentuh kedudukan kerusi sedia ada, Wong berkata MIC mungkin lebih terbuka kepada PN kerana kerusi Parlimen tunggalnya, Tapah, sukar dipertahankan jika kekal bersama BN.
“Kalau PN membentuk kerajaan, MIC boleh mengharapkan satu jawatan menteri. Kalau PN tidak jadi kerajaan sekalipun, MIC masih boleh berharap pada jawatan ahli majlis di negeri ditadbir PAS. Sebab itu MIC Kedah sangat bersemangat,” katanya.
Namun, bagi MCA katanya, pertimbangan lebih rumit kerana parti itu masih memiliki kerusi Parlimen, DUN, selain jawatan exco dan ahli majlis di Johor serta Melaka.
“Kalau MCA keluar BN, DAP akan mengambil alih ruang itu. Sebab itu DAP paling suka jika MCA keluar. Tetapi bagi sembilan negeri lain di Semenanjung, MCA hampir tiada kedudukan.
“Kalau masuk PN sekalipun kalah, sekurang-kurangnya masih ada peluang lantikan sebagai ahli majlis atau senator. Maka, isu keluar BN mungkin memecahkan MCA sendiri,” katanya.