Projek MyKiosk tiada elemen jenayah, salah guna kuasa

Projek MyKiosk tiada elemen jenayah, salah guna kuasa

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu berkata dapatan itu berdasarkan siasatan SPRM.

mykiosk
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu berkata semua dokumen berkaitan projek itu diserahkan kepada SPRM pada 22 Mei lalu sebagai tanda ketelusan dan integriti kementeriannya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan tiada elemen jenayah atau salah guna kuasa dikesan dalam pelaksanaan projek MyKiosk berdasarkan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu, berkata siasatan SPRM itu menyusul aduan diterima dan KPKT menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada SPRM pada 22 Mei lalu sebagai tanda ketelusan dan integriti kementerian.

“Hasil siasatan SPRM yang diumumkan 3 Julai lalu mendapati tiada sebarang elemen jenayah atau salah guna kuasa dikesan, sebaliknya hanya mencadangkan beberapa penambahbaikan dari aspek tadbir urus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu hasil siasatan SPRM terhadap tatakelola pengurusan inisiatif MyKiosk serta soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Senator Husin Ismail mengenai pelaksanaan MyKiosk.

Aiman Athirah berkata RM50 juta diperuntukkan pada 2023 bagi pelaksanaan MyKiosk 1.0 melibatkan 3,189 unit kios dengan kos RM48.18 juta, manakala RM100 juta diperuntukkan tahun lalu untuk MyKiosk 2.0 membabitkan 4,054 unit kios bernilai RM98.75 juta.

“Hingga kini, kadar pengisian unit untuk MyKiosk 1.0 mencapai 94.39%, manakala MyKiosk 2.0 di tahap 89.07%,” katanya sambil menambah punca utama baki unit belum diisi termasuk kesesuaian lokasi, kekurangan infrastruktur asas dan keadaan tapak belum siap.

Justeru, katanya, satu pasukan petugas dalaman ditubuhkan bagi meneliti lokasi dan mempercepatkan pengisian, selain lawatan pemantauan bersepadu serta sesi libat urus bersama.

Bagi mempertingkatkan pelaksanaan MyKiosk, beliau berkata, KPKT memperkenalkan sistem pemantauan berasaskan kaedah “traffic light” bermula tahun ini untuk menilai prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pemberian markah penuh sebagai galakan.

Menurutnya, kos siling seunit MyKiosk 1.0 ialah RM15,000 dan RM25,000 seunit bagi MyKiosk 2.0 dengan penambahan spesifikasi baharu.

Katanya, KPKT juga membenarkan PBT membuat penempatan semula kios ke lokasi lebih strategik di kawasan tumpuan awam jika perlu, memandangkan MyKiosk direka bentuk mudah alih dan boleh disesuaikan mengikut keperluan setempat.

Menjawab soalan tambahan Halim mengenai perbezaan MyKiosk versi lama dan baharu, jelasnya, model terkini dilengkapi panel solar 100 watt berbanding 50 watt sebelum ini, dinding powdercoated, kipas, sistem kalis air tahan cuaca serta pertambahan sudut keluasan.

Kos pertambahan model terkini sejajar peningkatan spesifikasi, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.