Kedudukan dalam BN: Ahli MT MIC desak keputusan segera

Kedudukan dalam BN: Ahli MT MIC desak keputusan segera

RT Rajasekaran kata suatu keputusan yang muktamad akan beri kepastian kepada ahli-ahli MIC.

MIC
Sebelum ini, Timbalan Presiden M Saravanan kata MIC akan buat keputusan mengenai masa depannya bersama BN selepas mesyuarat agung tahunan pada Oktober. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin MIC mendesak pucuk kepimpinan partinya membuat keputusan segera mengenai kedudukan dalam Barisan Nasional, di sebalik saranan akar umbi dan dakwaan dipinggirkan.

Ahli Majlis Tertinggi MIC, RT Rajasekaran, menarik perhatian kepada usul daripada MIC Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Wilayah Persekutuan yang menyarankan parti meninggalkan BN.

“Suatu keputusan yang muktamad akan memberi kepastian kepada ahli-ahli MIC mengenai status parti sekarang serta untuk bersiap siaga bagi menghadapi PRU16 kelak,” menurut kenyataan.

Bulan lalu, MIC Kedah dilapor meluluskan usul bekerjasama dengan Perikatan Nasional pada PRU16 dalam mesyuarat agung tahunannya, manakala MIC Pulau Pinang meluluskan usul keluar BN.

Sebelum itu, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, berkata partinya tidak menerima sebarang lantikan menteri atau timbalan menteri walaupun mempunyai kerusi di Parlimen, dan mendakwa seolah-olah dipinggirkan.

Saravanan pada September berkata MIC akan membuat keputusan mengenai masa depannya bersama BN selepas mesyuarat agung tahunan pada Oktober.

Pada 16 Ogos lalu, Presiden SA Vigneswaran mengakui MIC ada melakukan perbincangan tidak rasmi dengan PN, yang menyentuh hala tuju parti itu.

Parti terkuat dalam PN, PAS berkata ia terbuka untuk bekerjasama dengan MIC malah Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Balachandran Gopal Krishnan berkata mereka pernah bersama semasa pentadbiran lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.