
PETALING JAYA: Satu gempa bumi lemah berukuran 2.9 pada skala Richter dikesan melanda kawasan Sri Medan, dalam daerah Batu Pahat, Johor pada 6.39 petang tadi.
Tiada sebarang laporan kerosakan atau gegaran kuat diterima setakat ini, lapor Bernama.
Menurut laman sesawang myGempa oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gegaran berada di koordinat 1.95° darjah utara dan 102.99° darjah timur, dengan kedalaman 10km.
Sebelum ini, satu gegaran direkodkan di Yong Peng, 28km barat laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada 24 Ogos, lapor Bernama.
Siri gegaran juga direkodkan di Segamat, bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi 24 Ogos dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi Rabu (3.2); 7.56 malam Khamis (2.5); 4.24 pagi Jumaat (3.4); dan 7.29 pagi Sabtu lepas (2.7).