Aerotrain KLIA kembali operasi 24 jam

Aerotrain KLIA kembali operasi 24 jam

Ia susulan penyelenggaraan dari 18 hingga 31 Ogos lalu.

aerotrain klia
Pengarah Urusan MAHB Mohd Izani Ghani berkata aerotrain penghubung penting dalam operasi KLIA. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali beroperasi 24 jam selepas kerja penyelenggaraan berjadual, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengarah Urusannya, Mohd Izani Ghani, berkata kerja penyelenggaraan dari 18 hingga 31 Ogos itu dijalankan antara 12 tengah malam dan 5 pagi setiap hari tanpa menjejaskan pergerakan penumpang.

Katanya, bas ulang-alik memastikan perjalanan lancar antara bangunan terminal utama dan bangunan satelit sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, langkah itu bagi menambah baik responsif dan kebolehpercayaan sistem terbabit berdasarkan data operasi dikumpul sejak pelancaran aerotrain 1 Julai lalu.

Menurutnya, kontraktor Alstom turut menguji perisian isyarat aerotrain terkini semasa kerja penyelenggaraan berjadual itu.

“Aerotrain penghubung penting dalam operasi KLIA dan kumpulan komited memastikan kebolehpercayaannya. Siapnya kerja berjadual ini mencerminkan fokus kami terhadap kecemerlangan perkhidmatan dan memastikan pengalaman perjalanan lancar di lapangan terbang.

“Kami akan terus melabur dalam infrastruktur yang menyediakan tahap kebolehpercayaan, keselamatan dan keselesaan lebih baik untuk semua penumpang,” katanya dalam kenyataan.

MAHB mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki. Sebagai lapangan terbang utamanya, KLIA antara hab penerbangan pilihan di rantau ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.