Pemimpin Bersatu kecam surat layang ‘strategi hodoh’ buruk nama Hamzah

Pemimpin Bersatu kecam surat layang ‘strategi hodoh’ buruk nama Hamzah

Ketua Bersatu Hang Tuah Jaya Mohd Azrudin Md Idris turut menyifatkan ia 'gerak kerja terancang'.

Ketua Bersatu Hang Tuah Jaya Mohd Azrudin Md Idris mengecam penyebaran surat layang yang memburukkan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mengecam ‘strategi hodoh’ pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan surat layang hanya untuk memburukkan nama Timbalan Presiden Hamzah Zainudin.

Ketua Bersatu Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris, berkata surat layang yang kini tersebar dalam pelbagai ‘group’ WhatsApp penyokong parti itu sejak beberapa hari lalu dipercayai ‘gerak kerja terancang’.

“Semua surat layang itu ada hanya satu mesej iaitu memburukkan Hamzah. Dari satu sudut, surat tersebut membayangkan betapa kuat ketokohan Hamzah sehingga beliau perlu diserang bertubi-tubi oleh pihak lawan.

“Tetapi dari satu sudut lain, ia menimbulkan persoalan mengenai siapakah dalang di sebalik penyebaran surat layang. Adakah ia ditulis dan disebarkan orang dalam parti sendiri yang menganggap Hamzah sebagai saingan dalaman mereka?” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Azrudin menyeru semua ahli menolak sebarang usaha terancang ‘membawa budaya buruk parti lain’ umpamanya adu domba dan memfitnah pemimpin ke dalam Bersatu.

“Siapa pun dalang yang bertanggungjawab, saya mengecam sekeras-kerasnya strategi hodoh menyebarkan surat layang dalam kalangan ahli Bersatu. Ini mungkin kebiasaan dalam parti lain, tapi ia bukan budaya Bersatu,” katanya.

Surat itu mendakwa Hamzah ‘menikam dari belakang’, menyatakan Muhyiddin Yassin pernah berjanji melepaskan jawatan presiden atau melantiknya sebagai pengganti.

Ia juga mendakwa Hamzah menyalah guna formula pemilihan parti untuk fitnah ‘janji serah kuasa’ yang memecahbelahkan perpaduan Bersatu.

Muhyiddin dan timbalannya Hamzah, masing-masing tidak dicabar dalam pemilihan Oktober lalu.

Pada pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027, perdana menteri kelapan itu menang tanpa bertanding jawatan presiden.

Terdahulu, pada perasmian Perhimpunan Agung Tahunan 23 Nov 2023, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden. Namun, beliau membuat ‘pusingan U’ dua hari kemudian selepas diyakinkan isterinya Noorainee Abdul Rahman untuk tidak mengecewakan ahli yang memerlukannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.