Poster boy PRU16: Tiba masa PAS jadi pemandu, kata penganalisis

Poster boy PRU16: Tiba masa PAS jadi pemandu, kata penganalisis

Ia selepas Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu tidak akan mengikut 'trend' menamakan calon perdana menterinya.

Penganalisis politik Sayuti Omar berkata tiba masanya PAS menjadi pemandu dan tidak perlu ragu-ragu atau rasa bersalah terhadap sekutunya dalam PN. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
PAS perlu lebih terbuka dan tidak wajar menolak untuk menamakan poster boy atau calon perdana menteri daripada parti itu bagi PRU16, kata penganalisis politik.

Pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar, berkata dengan kekuatan PAS di Dewan Rakyat serta penguasaannya di empat negeri, parti itu tidak perlu ragu-ragu atau rasa bersalah terhadap sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN).

“Apabila PAS enggan menampilkan tokohnya sebagai poster boy atau calon perdana menteri, apakah ini bermakna tiada seorang pun dari PAS yang layak?

“Sudah sampai masanya PAS menjadi pemandu, bukan sekadar penumpang,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik Berita Harian sebagai berkata, parti itu tidak akan mengikut ‘trend’ dengan menamakan calon perdana menteri, sebaliknya akan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu jika menang PRU16.

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga naib presiden PAS disebut-sebut sebagai calon berpotensi menjadi perdana menteri jika PN memenangi PRU.

Namun, ada juga pendapat daripada Bersatu yang mahu Presidennya, Muhyiddin Yassin menjadi poster boy gabungan pembangkang itu.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berpandangan, pendekatan PAS itu mungkin strategi ‘menarik rambut dalam tepung’ dalam menguruskan kepimpinan masa depan PN yang memerlukan sentuhan baharu.

“PAS mungkin mahu soal kepimpinan masa depan PN menuju PRU16 lebih ‘terbuka’ – sama ada daripada Bersatu yang tidak terhad kepada Muhyiddin, tetapi juga tokoh lain, ataupun daripada PAS sendiri.

“Mungkin juga PAS mahu mengelakkan polemik siapa poster boy, tatkala ada suara dalam Bersatu yang mahu presidennya menjadi calon perdana menteri.”

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia pula berkata, PAS boleh menamakan calon poster boy jika keadaan politik menguntungkannya.

“Keputusan sama ada mahu menamakan poster boy sangat bergantung kepada iklim politik semasa. PAS tidak sepatutnya menegaskan dari awal ia anti-poster boy, sebaliknya perlu terbuka jika suasana politik memberi kelebihan.

“PRU boleh berakhir dengan pertukaran kerajaan. Jika majoriti rakyat ingin tahu siapa yang akan memimpin negara sekiranya sesuatu blok politik menang, maka keengganan menamakan poster boy wajar ditarik balik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.