
Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata, dalam serbuan pertama di sebuah stesen minyak di Jalan Ranau Poring pada 8.15 pagi, 20 bungkusan plastik dipercayai mengandungi dadah ditemukan di dalam sebuah kenderaan yang diperiksa.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan yang diletakkan di dalam sebuah bagasi berwarna hitam itu mengandungi 21.3 kg dadah jenis syabu bernilai RM681,600.
“Seorang lelaki berusia 31 tahun turut ditahan,” katanya dalam sidang media di IPK Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu hari ini, lapor Bernama.
Dalam pada itu, katanya, serbuan seterusnya dilakukan ke atas sebuah kenderaan di pekarangan masjid di Telupid pada 9.20 pagi.
Dalam serbuan itu, sebuah bagasi mengandungi 20 bungkusan plastik berisi 20.33kg dadah jenis syabu bernilai RM650,560 ditemukan.
“Dua lelaki berusia 21 dan 24 tahun turut ditahan dalam serbuan itu,” katanya.
Menurut Jauteh, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki itu menjadi penghantar kepada seorang pembekal dadah untuk membawa bahan terlarang itu dari Kota Kinabalu ke pantai timur Sabah.
Beliau berkata, kesemua lelaki itu mengaku terlibat dengan kegiatan itu sejak awal Februari lepas, dengan seorang suspek turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Kita percaya dadah ini dibawa masuk dari Semenanjung melalui perkhidmatan kurier untuk dibawa ke pantai timur Sabah,” katanya.
Jauteh berkata, ketiga-tiga lelaki itu direman hingga 5 Sept dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.