PM bertemu Xi, Li Qiang di Beijing perkukuh hubungan strategik

PM bertemu Xi, Li Qiang di Beijing perkukuh hubungan strategik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim meneruskan hari ketiga lawatan kerjanya di China hari ini dengan mengadakan perbincangan peringkat tinggi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia’ di Universiti Tianjin, universiti moden tertua di China, semalam. (Gambar Bernama)
BEIJING:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meneruskan hari ketiga lawatan kerja beliau di China pada Selasa, dengan mengadakan perbincangan peringkat tinggi di ibu negara China untuk memperdalam hubungan strategik dan meluaskan kerjasama perdagangan.

Agenda utama beliau hari ini ialah mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Xi Jinping di Great Hall of the People pada 6 petang, yang menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan Kuala Lumpur–Beijing yang sekian lama terjalin.

Pertemuan ini ialah kali keempat kedua-dua pemimpin bertemu secara bersemuka selepas perjumpaan di Putrajaya bersempena dengan lawatan negara Xi ke Malaysia pada April lepas.

Selepas itu, Anwar akan bertemu dengan Perdana Menteri China Li Qiang untuk mesyuarat dua hala, diikuti majlis makan malam khas yang dihoskan oleh Li bagi meraikan Anwar di Rumah Tamu Negara Diaoyutai.

Duta Malaysia ke China Norman Muhamad berkata majlis makan malam itu yang dianjurkan bagi pihak Xi, ialah satu-satunya majlis eksklusif yang dihoskan oleh kerajaan China untuk pemimpin yang berkunjung ke negara itu, dalam tempoh ini.

Jadual Anwar hari ini turut merangkumi pertemuan perniagaan dengan JD.com dan China Semiconductor Industry Association (CSIA).

JD.com, ahli Nasdaq 100 dan syarikat Fortune Global 500, ialah peruncit e-dagang terbesar di China yang memberikan khidmat kepada lebih 580 juta pembeli di seluruh China.

Syarikat dipacukan teknologi ini mengendalikan infrastruktur pemenuhan terbesar di China, yang membolehkan 90% pesanan dihantar pada hari yang sama atau keesokannya.

CSIA pula ialah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang dianggotai syarikat, pakar dan institusi yang terlibat dalam pembuatan, reka bentuk dan pembangunan berkaitan industri.

Anwar juga akan menghadiri Dialog Perniagaan dan Ekonomi Malaysia–China yang menghimpunkan 180 pemimpin perniagaan dan industri China daripada pelbagai sektor ekonomi.

Delegasi perdana menteri ke China kali ini termasuk Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.