
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan itu dikemukakan semula di depan koroner baharu yang mengendalikan kes itu.
Hakim Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pasukan peguam keluarga Zara Qairina dan Persatuan Guaman Sabah (SLS).
“Apa-apa perintah yang dibuat berkaitan sebarang permohonan dalam inkues itu dibatalkan. Jadi, pihak-pihak bebas mengemukakan semula permohonan mereka kepada koroner baharu,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, koroner yang membenarkan peguam lima remaja itu mengambil bahagian prosiding inkues sebagai pihak berkepentingan sudah menarik diri daripada mendengar kes berkenaan atas alasan wujud kepentingan peribadi.
Menurutnya, tidak wajar untuk koroner itu membuat keputusan terhadap isu substantif yang sepatutnya diputuskan koroner baharu.
“Ia seolah-olah membuat keputusan bagi pihak pengganti dan boleh menjejaskan prinsip ketidakberpihakan,” katanya sambil menambah mahkamah turut menolak bantahan awal dikemukakan timbalan pendakwa raya (TPR) terhadap pembabitan SLS dalam kes itu.
Pada masa sama, Duncan berkata, SLS yang hadir sebagai pemerhati berperanan memerhati perjalanan prosiding dan memberi bantuan kepada mahkamah, jika diminta.
“Memandangkan isu ini membabitkan kepentingan awam dan peranan SLS sebagai penjaga kepentingan itu, saya berpendapat isu locus standi (hak berada di mahkamah) tidak seharusnya menghalang mereka daripada membangkitkan isu ini.
“Maka, saya menolak bantahan awal oleh timbalan pendakwa raya.”
Terdahulu, pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah membangkitkan bantahan awal terhadap permohonan SLS.
Sebagai pemerhati, katanya, SLS tiada locus standi (hak mencabar di mahkamah) untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan koroner menarik diri daripada mendengar kes itu dan membenarkan peguam lima remaja diterima sebagai pihak berkepentingan.
Nahra berhujah peranan pemohon sebagai pemerhati hanya untuk memerhati prosiding inkues, tanpa hak membuat permohonan substantif.
SLS mengemukakan dua persoalan undang-undang, iaitu adakah koroner terkhilaf dari segi undang-undang apabila membenarkan peguam lima remaja itu diterima sebagai pihak berkepentingan dan adakah keputusan koroner kekal sah serta mengikat dari segi undang-undang kerana beliau menarik diri daripada mendengar kes itu atas kemungkinan wujud konflik kepentingan.
SLS dan pasukan peguam keluarga Zara Qairina memfailkan permohonan semakan secara berasingan mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah.
Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Mahkamah Sabah, Azreena Aziz yang bertindak sebagai Koroner memutuskan prosiding inkues akan diteruskan mengikut jadual, tetapi akan didengar koroner baharu iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.
Beliau turut membenarkan permohonan peguam lima remaja itu diterima sebagai pihak berkepentingan dan diberikan akses kepada dokumen kes.
Prosiding inkues akan berlangsung pada 3, 4, 8 hingga 12 , 17 hingga 19 dan 22 hingga 30 Sept ini, susulan kematian Zara Qairina, 13, pelajar sebuah sekolah agama di Papar yang ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu, sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth keesokannya.
Pada 20 Ogos lalu, lima remaja mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara Qairina.