Jual minyak masak lebih harga, pengarah pasar mini didenda RM5,000

Jual minyak masak lebih harga, pengarah pasar mini didenda RM5,000

Mahkamah juga memerintahkan wang RM485.85 hasil jualan pasar mini itu yang dirampas dilucutkan hak dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Gavel
Pengarah Mini Market Desa Rishah Sdn Bhd, J Shanker mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menjual minyak masak botol 2kg melebihi harga ditetapkan. (Gambar Pexels)
IPOH:
Seorang pengarah syarikat pasar mini didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menjual minyak masak botol melebihi harga yang ditetapkan, tahun lepas.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas J Shanker, 43, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara lima hari sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah juga memerintahkan wang bernilai RM485.85, iaitu hasil jualan berkaitan dilucutkan hak dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Shanker sebagai pengarah syarikat Mini Market Desa Rishah Sdn Bhd didapati menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal, iaitu minyak masak botol 2kg jenama Seri Murni selain mengikut harga yang ditentukan oleh pengawal di bawah Seksyen 4, 5 atau 7 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kesalahan itu dilakukan di Mini Market Desa Rishah Sdn Bhd, No. 1 & 3 Jalan Klebang Ria 3, Taman Klebang Ria, Chemor pada 12.30 tengah hari, 17 April 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18(b) akta sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, denda maksimum RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, N Shamani memohon hukuman setimpal.

Peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Halim yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon denda RM5,000 atas alasan terdapat kesilapan penetapan harga pada hari itu sebanyak RM13.90 dan hanya satu sahaja minyak botol yang terjual, manakala 46 minyak botol yang dirampas adalah stok barangan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.