
Inkues 19 hari yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept serta 22 hingga 30 Sept akan dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku koroner.
Sebanyak 70 saksi termasuk pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas remaja terbabit akan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding inkues.
Prosiding akan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwaan II Badius Zaman Ahmad bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali iaitu Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan serta Dacia Jane Romanus.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas.
Remaja tersebut sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh polis.
Pada 8 Ogos, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan ke atas jenazahnya.