
Kementerian Luar memaklumkan, pihaknya memantau rapat kesan gempa bumi kuat dan beberapa susulan gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan pada 1 Sept, berhampiran sempadan dengan Pakistan.
Gempa bumi itu turut dirasai secara meluas termasuk di ibu negara Pakistan, Islamabad. Lebih 1.2 juta orang merasakan gegaran kuat, manakala kerosakan besar dilaporkan di kawasan pergunungan terpencil.
Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad memaklumkan, pihaknya kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Pakistan dan sedang memantau keadaan.
“Rakyat Malaysia yang menetap atau berada di kawasan terjejas di Pakistan dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi panduan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, dan mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi.
“Mereka yang belum mendaftar kehadiran sangat digalakkan berbuat demikian melalui E-Konsular bagi memastikan sokongan dan komunikasi dapat diberikan dengan segera,” katanya menerusi kenyataan itu.
Kementerian berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan serta mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.
Bantuan konsul boleh diperoleh di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Plot No. 144–150, Street No. 17, Sector G-5, Diplomatic Enclave.
Talian penting konsular ialah +92 51 207 2900 sambungan 124, 125 atau 119, atau +92 51 283 3200, manakala e-mel boleh dihantar ke [email protected].
Anadolu Ajansi melaporkan, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan gempa itu pada 11.47 malam waktu tempatan (1917 GMT), 27km timur-timur laut Jalalabad pada kedalaman 8 km.
Pihak berkuasa memaklumkan angka korban dan cedera masih belum muktamad kerana mereka masih lagi berhubung dengan penduduk di banyak kawasan terpencil,
Sementara itu, pasukan bantuan sedang dalam perjalanan untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.