
Ariff Aizuddin Azlan berpendapat tindakan pemimpin mendapat pencalonan mencukupi tetapi menolak bertanding seperti Menteri Besar Kedah Sanusi Nor bagi jawatan naib presiden boleh difahami kerana sedar tumpuan sepatutnya kepada PRU16.
Penganalisis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut berpendapat selain mengelakkan perpecahan, percaturan itu mungkin diolah kerana berkait usaha menjimatkan masa serta tenaga daripada terus bersaing satu sama lain.
“Bagaimanapun, ia akan membentuk serba sedikit persepsi PAS tidak begitu mendukung semangat demokrasi kerana jawatan tertentu sepatutnya ditandingi calon benar layak dan bukan dikekalkan oleh figura tertentu sehingga satu tempoh tidak diketahui,” katanya kepada FMT.
Sabtu lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengumumkan lima jawatan tertinggi parti iaitu presiden, timbalan presiden serta tiga naib presiden dimenangi tanpa pertandingan selepas tempoh pencalonan tamat Jumaat lalu.
Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi calon tunggal bagi dua jawatan tertinggi manakala perwakilan di kawasan mencalonkan Sanusi, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli Parlimen Bagan Serai dan Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah untuk jawatan naib presiden.
Bagaimanapun, Sanusi menolak pencalonan yang membuka ruang kepada tiga penyandang terbabit menang tanpa bertanding.
Takiyuddin turut mengumumkan semua jawatan ketua dan timbalan sayap parti itu membabitkan Pemuda, Wanita dan Ulama kekal tanpa pertandingan.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa pula berkata ketiadaan pertandingan dalam pemilihan PAS bulan depan itu telah dijangka.
“Kesan positif parti itu tidak akan berpecah atau berlawan sesama sendiri tetapi dalam aspe lain dibimbangi sukar kembangkan idea baharu.
“Ini kerana pemimpin lama akan terus memimpin, hala tuju PAS kekal sama,” katanya.