
Ada dalam kalangan rakyat Malaysia menghulurkan bantuan dengan memesan makanan menerusi aplikasi Grab dan Ojek dalam talian (Ojol) yang kemudiannya diberikan semula kepada penghantar pesanan itu.
Pengguna media sosial di Indonesia bernama milktea_sansan mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan dan memberi sokongan moral.
“Terima kasih Malaysia untuk cinta dan kasih yang begitu besar terhadap Indonesia dan teman-teman driver Grab dan Gojek, kalian memesan makanan untuk para driver dan teman-teman mereka, bantuan kalian sangat bererti untuk mereka.
“Terima kasih, sangat terharu dengan cinta, kasih kalian. We Love you Malaysia.”
Warga Indonesia bernama Larasati melalui video TikToknya turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu rakyat republik itu.
“Rakyat Indonesia harus tahu kerana negara tetangga kita, iaitu (rakyat) Malaysia sedang berbondong-bondong menolong rakyat Indonesia, terutama pemandu Grab di Jakarta.
“Mereka menukar lokasi ke Jakarta dan memesan makanan melalui Grabfood untuk diberikan kepada pemandu Grab ataupun Gojek di Jakarta.
“Terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Malaysia yang dah sokong rakyat Indonesia,” kata wanita itu yang kini berada di Malaysia sambil berharap kebaikan rakyat Malaysia akan dibalas Tuhan.
Terdahulu, pengguna media sosial bernama lebli_aiin86 berkata, beliau membeli barangan keperluan asas buat pemandu Ojek.
“Baru sertai solidariti dari Malaysia untuk Indonesia. Saya tengok ramai pilih lokasi Jakarta dan (pesan) makanan. Jadi, saya tukar lokasi ke Bandung dan beli barang makanan seperti beras, minyak dan lain-lain serta berikan sedikit tips. Semoga Indonesia baik-baik sahaja.”
Pengguna Thread bernama Hanifjamals berkata, pembelian itu menunjukkan kasih sayang rakyat Malaysia kepada Indonesia.
“Ada yang nak bagi isteri dan ada juga yang nak tolong agihkan kepada orang lain.”
Demonstrasi di Jakarta sejak minggu lalu bagi membantah elaun perumahan Ahli Parlimen mencecah 50 juta rupiah sebulan dan dasar kerajaan dikatakan membebankan seperti kenaikan kos sara hidup, penarikan subsidi tertentu, pemecatan besar-besaran dan cukai hartanah membebankan.
Protes itu kemudian merebak susulan kematian seorang penunggang Ojek, Affan Kurniawan yang dilanggar kenderaan polis semasa demonstrasi di Jakarta.
Protes besar-besaran itu menyebabkan enam terbunuh setakat ini.