Polis buru 2 suspek bom kedai di Ipoh

Polis buru 2 suspek bom kedai di Ipoh

Polis berkata pintu pengatup bergulung dan lantai depan premis terbabit rosak, manakala sebuah kedai lagi mengalami kerosakan kecil pada papan tanda serta dinding.

Abang Zainal Abidin Abang Ahmad
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek menggunakan bom tangan pengkaku deria bukan bertujuan mencederakan atau membunuh, tetapi untuk menakut-nakutkan serta menyebabkan kerosakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sedang mengesan dua lelaki disyaki mengebom sebuah premis perniagaan di Panorama Lapangan Perdana, Ipoh.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, tetapi dua kedai mengalami kerosakan akibat letupan itu.

Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata kejadian pada 4.58 pagi semalam itu dimaklumkan seorang wanita 43 tahun.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis menunjukkan dua lelaki bermotosikal meletakkan satu objek dipercayai bahan letupan di depan premis terbabit sebelum beredar.

Katanya, pemeriksaan awal Unit Post Blast Investigation dan Unit Persenjataan IPK Perak mengesahkan penggunaan bahan letupan tahap rendah.

“Bahan letupan yang digunakan adalah jenis ‘low explosive’ (bom tangan pengkaku deria), di mana bahan letupan ini bukan bertujuan mencederakan atau membunuh, namun digunakan untuk menakut-nakutkan serta menyebabkan kerosakan,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, letupan itu menyebabkan pintu pengatup bergulung dan lantai depan premis terbabit rosak, manakala sebuah kedai bersebelahan mengalami kerosakan kecil pada papan tanda serta dinding.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan serta Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.