Hantar bantuan ke Gaza, 15 wakil Malaysia sertai misi flotila antarabangsa

Hantar bantuan ke Gaza, 15 wakil Malaysia sertai misi flotila antarabangsa

Delegasi Malaysia diterajui CGM, Mapim Malaysia dan Cinta Salam Malaysia bersama NGO sertai misi Global Sumud Flotilla.

kapal flotila berlepas gaza
Delegasi Malaysia antara yang berlepas dalam konvoi 24 kapal flotila membawa bantuan asas dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol, ke Gaza semalam. (Gambar Mapim)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 24 kapal flotila dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol berlepas ke Gaza semalam, membawa mesej kemanusiaan dan bantuan asas, disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia.

Sekretariat Sumud Nusantara memaklumkan, delegasi Malaysia yang diterajui Cinta Gaza Malaysia (CGM), Mapim Malaysia dan Cinta Salam Malaysia bersama rakan-rakan NGO menyertai misi Global Sumud Flotila (GSF) yang menuntut pembukaan laluan bantuan serta penghentian segera serangan ke atas Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim Malaysia merangkap Chef de Mission Malaysia Sani Araby berkata, penyertaan Malaysia menzahirkan sokongan nyata terhadap perjuangan kemanusiaan.

“Delegasi Malaysia disambut penuh hangat oleh masyarakat antarabangsa ketika Jalur Gemilang berkibar di Barcelona,” katanya dalam kenyataan.

“Misi flotila ini adalah bukti dunia bangkit bertindak, bukan sekadar berbicara. Malaysia dihormati kerana keberanian dipimpin perdana menteri selaku penaung Gerakan Sumud Nusantara, yang disusuli dengan tindakan tegas di peringkat antarabangsa.”

Sementara itu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap anggota Jawatankuasa Induk GSF Nadir Al-Nuri menegaskan, flotila itu adalah sebahagian daripada arus kebangkitan global yang menolak pengepungan Gaza.

“Dari Barcelona hingga Kuala Lumpur, dari Asia Tenggara hingga seluruh dunia, kita mesti bersatu menuntut hak yang sama iaitu hentikan kebuluran segera, hentikan perang Gaza dan buka koridor kemanusiaan di Rafah,” katanya.

Beliau yang juga ketua pegawai eksekutif Cinta Gaza Malaysia berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bangkit di semua peringkat untuk memberikan sokongan serta tekanan terhadap rejim Zionis.

Kenyataan itu menyebut fasa seterusnya akan menyaksikan 15 delegasi Malaysia kumpulan kedua berlepas dari pelabuhan Itali bersama delegasi antarabangsa pada 4 Sept ini, serentak dengan kumpulan ketiga Malaysia yang kini berada di Tunisia.

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.