
Pemetaan cahaya atau ‘projection mapping’ ialah teknik yang memancarkan imej atau video pada permukaan, menjelmakan objek dan ruang biasa menjadi pengalaman yang dinamik dan imersif menerusi perpaduan cahaya dan bunyi. Teknik berkaitan, seperti ‘paint mapping’, membolehkan artis menyematkan pergerakan pada rekaan statik, dan jika semua ini dipadankan dengan pengesan pergerakan, karya menjadi interaktif sepenuhnya.
Di Galeri Filamen, Muzium Telekom ini mimpi seakan menjadi kenyataan apabila Shakir mengalun warna dalam 1001 kombinasi.
“Kebanyakan karya-karya saya ini untuk tunjuk budaya kita di Malaysia, sebab itu kebanyakan hasil saya sangat meriah, terang dan berwarna-warni,” katanya kepada FMT.

“Visual saya ada itu sebenarnya daripada motif seperti ukiran kayu, motif melambangkan orang Melayu, Cina, India dan juga Sabah dan Sarawak. Ia gabungan pelbagai bahasa visual yang saya bawa ke dalam karya saya, dan daripada karya itu saya bawa juga ke tempat lain.”
Menurut anak jati Selangor berusia 33 tahun ini, menghasilkan suatu karya boleh mengambil masa sehingga dua bulan untuk disiapkan. Kerja rumit itu berbaloi apabila seninya menghiasi Farquhar Garden di Singapura; dan Bangkok Metropolitan Administration City Hall, Rommani Nat Park, dan East Asiatic Building di Thailand.
“Di Indonesia pula, karya saya pernah dipamerkan di Muzium Seni Rupa dan Seramik menerusi Antara Extended-Cendayam Art Installation 2024, serta Muzium Fatahillah (Muzium Sejarah Jakarta) sempena Festival Cahaya Jakarta.”
Jejak seninya merentasi rantau ini untuk ke Hong Kong, seterusnya benua ini untuk pameran di Sepanyol. Shakir bakal meneruskan perjalanan ke Itali untuk mempamerkan warna-warna Malaysia di Florence Biennale pada Oktober.
Salah satu karya yang dekat di hati, ‘Atma Kirana’, dipamerkan di Balai Seni Negara pada 2023, menggunakan 100 skrin untuk bercerita tentang Rukun Negara.

“Karya tersebut menggunakan 100 skrin LED kitar semula. Kemudian, karya itu sendiri menampilkan lima visual digital atau motif digital. Setiap satu mewakili Rukun Negara. Setiap motif ini ada bunga, ada cerita yang menceritakan Rukun Negara,” katanya.
Shakir akui memuaskan minat seni yang terbit sejak usia sembilan tahun memerlukan pengorbanan yang besar – serendah RM5,000 hingga RM10,000 untuk pameran berskala kecil, dan meningkat kepada ratusan ribu bagi pameran berskala besar.
“Contohnya kalau ruang imersif seperti ini (Galeri Filamen) memerlukan empat projektor, jadi peralatan itu kita akan sewa atau beli,” jelasnya.
Menyedari cabaran yang dihadapi pelajar baharu dalam bidang ini, Shakir melalui Filamen — sebuah komuniti seni media baharu — menyediakan peralatan untuk dipinjamkan bagi membantu merealisasikan pameran seni digital pada skala kecil.
Shakir, yang juga felow penyelidik di Universiti Malaysia Sarawak, menekankan seni digital yang merangkumi pemetaan cahaya merupakan suatu ruang ekspresi tersendiri.
Ternyata Shakir mendakap teknologi, menepis anggapan yang bimbang teknologi kecerdasan buatan bakal menenggelamkan artis. “AI bukan musuh. Ia sebuah alat yang bezanya terletak pada etika manusia yang menggunakannya.”