
Mohd Effendi Ewan Mohd Matore dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata subjek itu sendiri sebenarnya sudah merangkumi banyak elemen sains.
Katanya, mata pelajaran itu juga menjadikan murid lebih menghargai alam, sejarah, budaya dan masyarakat, sekali gus membantu perkembangan karakter secara holistik.
“Elemen manusia dalam subjek ini sangat bermakna dalam membantu pembentukan karakter yang perlu dititikberatkan bagi murid sekolah rendah Tahap 1,” katanya kepada FMT.

Effendi berkata demikian ketika diminta mengulas satu hantaran di Facebook berhubung Kurikulum Persekolahan 2027 yang memasukkan subjek baharu ‘Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu’ untuk Tahap 1.
Hantaran yang dimuat naik Pensyarah Universiti UCSI, Othman Talib itu juga menunjukkan murid Tahap 1 bakal mengambil sekurang-kurangnya enam subjek berbanding berbanding tujuh atau lapan subjek ketika ini.
Menerusi hantaran itu, murid Tahap 1 akan mengambil subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu dan Pendidikan Jasmani.
Ketika ini, murid Tahap 1 perlu mengambil subjek teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Pendidikan Muzik atau Pendidikan Seni Visual.
Ini tidak termasuk mata pelajaran tambahan atau pilihan seperti bahasa Cina, India atau Arab.
Subjek Alam dan Manusia mula diperkenalkan pada 1982 di bawah Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Bagaimanapun pada 1994, subjek itu digantikan dengan gabungan mata pelajaran Sains dan Kajian Tempatan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).
Mengulas lanjut, Effendi berkata apa yang penting bukannya jumlah subjek tetapi adalah kandungan, aras penilaian serta pendekatan pedagogi yang digunakan dalam sesuatu mata pelajaran.
“Pada Tahap 1 ini, murid seharusnya menikmati keseronokan belajar melalui sekeliling mereka. Ini dapat menjadikan mereka lebih sensitif dan peka dengan persekitaran,” katanya.

Sementara itu, Othman dalam hantaran itu berkata beliau baharu dimaklumkan mengenai Kurikulum Persekolahan 2027 dan bersyukur subjek Sains yang beliau bantah sebelum ini kerana tidak sesuai dengan murid Tahap 1 akhirnya digugurkan.
“Enam subjek teras untuk murid Tahap 1 itu adalah satu angka yang sangat melegakan dan mata pelajaran Alam dan Manusia boleh jadi subjek yang menarik kepada anak-anak.
“Alam dan Manusia perlu dipermudahkan berasaskan fenomena di sekeliling murid yang disepadukan dengan seni dan muzik.
“Perbanyakkan juga waktu untuk bahasa Malaysia dan Matematik kerana literasi dan numerasi akan mempengaruhi pencapaian dalam mata pelajaran yang lain juga,” katanya.