
Peguam Negara, Dusuki Mokhtar, berkata siasatan penuh perlu dilakukan dengan penelitian daripada pelbagai aspek sebelum membuat keputusan berhubung inkues.
Menurutnya, polis difahamkan sedang melakukan siasatan dan selepas selesai, taklimat akan diberikan kepada pihaknya dalam masa terdekat.
“AGC dan polis akan sentiasa menjalankan kewajipan masing-masing dari segi perundangan dan siasatan yang sewajarnya bagi memberikan keadilan kepada keluarga mangsa,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, pendekatan itu selaras prinsip “justice not only be done but seen to be done”, dengan AGC berhasrat mencari penyelesaian terbaik, termasuk mengenal pasti punca kematian Allahyarham.
Kes Syamsul mencetus persoalan selepas laporan bedah siasat pertama menyebut punca kematian akibat sawan, tetapi keluarganya mempertikai dapatan itu disebabkan kesan lebam dan pendarahan pada tubuhnya.
Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan kubur Allahyarham di Semenyih digali semula untuk bedah siasat kedua, yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur kelmarin.
Peguam keluarga mangsa, Naran Singh dilaporkan berkata, bedah siasat kedua menemui kesan kecederaan trauma mencurigakan yang dipercayai boleh menjadi punca kematian, selain menyerahkan bukti tambahan berupa rakaman audio, transkrip serta gambar kepada polis untuk siasatan lanjut.
Kes itu kini disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman sebelum kertas siasatan diserahkan kepada AGC untuk memutuskan sama ada inkues perlu diadakan.