4 maut pikap terbabas rempuh pokok di Kuala Langat

4 maut pikap terbabas rempuh pokok di Kuala Langat

Kejadian berlaku di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), awal pagi tadi.

Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan susulan kemalangan di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dekat Kuala Langat, awal pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Empat lelaki maut selepas pikap dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pokok di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dekat Kuala Langat, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata kesemua mangsa berusia 40-an itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 2.21 pagi dengan sepasukan pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah pikap jenis Ford Ranger yang melanggar sebatang pokok.

“Ada empat mangsa dengan seorang daripada mereka tercampak keluar, manakala tiga lagi tersepit dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, petugas kesihatan mengesahkan kesemuanya meninggal dunia di lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.