Himpunan Merdeka Gelap berlangsung aman

Himpunan Merdeka Gelap berlangsung aman

Aktivis mahasiswa berhimpun bagi menyuarakan perasaan secara aman, berkenaan beberapa isu termasuk keselamatan pelajar di sekolah.

Suasana himpunan di Dataran Merdeka dengan peserta membawa poster ‘Basmi Buli Negara Sejahtera’.
KUALA LUMPUR:
Sekumpulan aktivis mahasiswa menyertai ‘Himpunan Merdeka Gelap’ di ibu negara, malam tadi, bagi menyuarakan perasaan berkenaan beberapa isu.

Perhimpunan bermula di Sogo pada 8.30 malam tadi disertai kira-kira 50 orang diketuai Presiden Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram), Brendon Gan.

Peserta kemudian berkumpul di Dataran Merdeka, di mana kehadiran bertambah kepada kira-kira 100 peserta, dengan sebilangan membawa poster ‘Basmi Buli Negara Sejahtera’ atau bendera ‘Justice for Zara Qairina’, dan malfa warna Palestin; dan bersurai sekitar 10 malam tadi.

Himpunan yang membangkitkan beberapa isu semasa, termasuk kes kematian Zara Qairina Mahathir, integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan badan kehakiman berlangsung dalam suasana aman dan terkawal, dengan kehadiran polis.

Segelintir peserta dalam himpunan di Sogo malam tadi, membangkitkan beberapa isu semasa, termasuk kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Di Sogo, Brendon mendakwa negara kini berdepan era kritikal, di mana agenda reformasi dikatakan semakin tertangguh.

Beliau mendakwa beberapa tragedi, skandal dan kelemahan dasar menonjolkan kerapuhan sistem, seperti keselamatan pelajar di sekolah.

“Rakyat menuntut bukti kerajaan serius dalam memperkukuh institusi, bukannya sekadar mengangkat slogan ‘reformasi’ sebagai retorik politik,” katanya pada sidang media selepas himpunan.

Mengulas kehadiran peserta, Brendon berkata jumlah bukan utama berbanding mesej yang ingin disampaikan.

“Isu-isu utama yang membuktikan perlunya tindakan segera dan menyeluruh bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.