
Menurutnya, kira-kira 850,000 rakyat Malaysia berbelanja pada hari pertama program itu, dengan jumlah perbelanjaan mencecah lebih RM50 juta setakat 9.30 malam tadi.
Bagaimanapun, permintaan tinggi itu menyebabkan penurunan prestasi sistem terminal MyKasih di beberapa lokasi, sekali gus menjejaskan pembelian.
“Jumlah transaksi yang direkodkan semalam jauh lebih tinggi berbanding purata 600,000 transaksi harian semasa pelaksanaan bulanan SARA sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, MoF dan MyKasih mengambil langkah segera meningkatkan kapasiti sistem bagi memastikan urus niaga berjalan lancar selepas ini.
“MyKasih juga akan menjalankan kerja penyelenggaraan sistem pada malam ini.”
Pada 23 Julai lalu, Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.
Perdana menteri berkata, pemberian sempena sambutan Hari Kebangsaan itu merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain penghargaan kepada rakyat, yang memanfaatkan 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
Tetapi, warganet meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial hari ini kerana tidak dapat menebus bantuan RM100 akibat masalah teknikal sistem MyKasih menyebabkan ramai pembeli meninggalkan troli dipenuhi barang kerana tidak dapat membuat pembayaran.
MoF berkata rakyat boleh menebus bantuan RM100 itu di lebih 7,300 premis seluruh negara sehingga 31 Dis ini.