
MoF berkata, pengguna masih boleh melakukan pembelian, tetapi sebahagian premis mungkin berdepan kesukaran memproses transaksi akibat permintaan sistem terlalu tinggi.
“Susulan jumlah transaksi sangat tinggi sempena hari pertama penyaluran Penghargaan SARA, sistem terminal MyKasih mengalami kelewatan pemprosesan transaksi susulan lonjakan jumlah pembelian,” katanya dalam kenyataan.
Pada 23 Julai lalu, Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.
Perdana menteri berkata, pemberian sempena sambutan Hari Kebangsaan itu merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain penghargaan kepada rakyat, yang memanfaatkan 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
Tetapi, warganet meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial hari ini kerana tidak dapat menebus bantuan RM100 mereka akibat masalah dihadapi sistem MyKasih menyebabkan ramai pembeli meninggalkan troli dipenuhi barang akibat kecewa.
MoF berkata, pasukan teknikal MyKasih giat menyelesaikan isu itu dan sistem dijangka kembali beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat.