‘Baik’ PAS saja tak cukup selesai masalah negara, kata Rafizi

‘Baik’ PAS saja tak cukup selesai masalah negara, kata Rafizi

Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mengakui beliau sukar sokong PAS meskipun tidak meragui niat baik parti itu.

rafizi ramli n nik nazmi
Rafizi Ramli pada program audio siar Yang Berhenti Menteri – Edisi Khas Merdeka yang turut menampilkan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, mengakui beliau sukar menyokong PAS meskipun tidak meragui niat baik parti itu.

Bercakap dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri – Edisi Khas Merdeka, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, sikap baik pemimpin dan wakil rakyat PAS sahaja tidak memadai untuk menyelesaikan masalah negara.

“Kalau soal niat sahaja, saya ada masalah dengan PAS. Saya rasa mereka tiada niat jahat, cuma mahu jadi wakil rakyat dan selesa orang kerajaan.

“Tapi bab sikap tak lepas. Orang tanya kenapa YB-YB tak sokong PAS? Mereka kan orang baik-baik. Tapi baik sahaja tidak semestinya boleh menyelesaikan masalah negara,” katanya sambil menegaskan bahawa sesebuah parti atau individu perlu mempunyai niat, sikap serta kemampuan untuk mentadbir.

Episod khas itu turut menampilkan bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.

Kedua-duanya melepaskan jawatan menteri selepas tewas dalam pemilihan PKR pada Mei lalu. Rafizi sebelum ini memegang portfolio ekonomi, manakala Nik Nazmi bertanggungjawab terhadap portfolio sumber asli dan kelestarian alam.

Pada Julai lalu, Rafizi pernah menyelar kenyataan ‘kata dua’ daripada PAS terhadap cadangannya supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman.

Beliau merujuk kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dipetik berkata parti itu sedia menyokong cadangan tersebut jika Rafizi turut serta dalam himpunan anjuran pembangkang pada 26 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.