Zaid, Hassan didakwa kelirukan rakyat berkait undang-undang petroleum

Zaid, Hassan didakwa kelirukan rakyat berkait undang-undang petroleum

Seorang senator dari Sarawak berkata Akta Pembangunan Petroleum terbuka untuk dicabar kerana pengisytiharan darurat ditamatkan pada 2011.

lng
Hak ke atas rizab minyak dan gas di Sarawak menjadi pertikaian antara kerajaan persekutuan dan negeri sejak Sarawak menubuhkan syarikat minyaknya sendiri, Petros. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang senator menuduh bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mengelirukan orang ramai berhubung Akta Pembangunan Petroleum (PDA) dan kuasa Sarawak terhadap sumber minyak dan gasnya.
Senator Ahmad Ibrahim
Senator Ahmad Ibrahim.

Senator Ahmad Ibrahim berhujah bahawa undang-undang yang memberikan Petronas hak tunggal ke atas rizab minyak dan gas hanya sah ketika Malaysia berada di bawah perintah darurat dari 1969 hingga 2011, lapor Borneo Post.

Katanya, PDA tidak lagi terpakai di Sarawak, dan undang-undang negeri kembali berkuat kuasa apabila semua pengisytiharan darurat ditamatkan oleh kerajaan Najib Razak pada 2011.

Zaid Ibrahim.

Ahmad berkata Zaid dan Hassan ‘sengaja mengabaikan’ fakta bahawa undang-undang itu hanya terpakai kerana darurat, yang menurutnya memberikan Parlimen ‘kuasa super’ untuk mengenakan undang-undang tersebut dan mengetepikan hak Sarawak.

Dalam keadaan biasa, katanya, undang-undang itu tidak sah dari sudut perlembagaan kerana sumber asli berada di bawah bidang kuasa negeri. Selepas tamatnya perintah darurat, undang-undang negeri seperti Ordinan Perlombongan Minyak 1958 kembali terpakai.

“Mereka yang menafikan realiti ini masih berpaut dengan nostalgia kuasa berlebihan persekutuan, sedangkan rakyat Sarawak bergerak ke hadapan mempertahankan kedaulatan ke atas tanah dan sumber asli sebagai rakan setara dalam Malaysia,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata kesahan PDA di Sarawak terbuka untuk dicabar kerana ‘justifikasi darurat’ sudah hilang.

Kerajaan persekutuan dan negeri sejak sekian lama berdepan pertikaian mengenai hak minyak dan gas di Sarawak.

Dalam satu podcast malam tadi, Zaid berkata PDA adalah undang-undang tertinggi dan tidak adil sekiranya Sarawak tidak menerima ketetapan yang termaktub dalam akta itu.

Hassan Karim.

Hassan pula berkata beliau pernah mengemukakan soalan di Parlimen mengenai sejauh mana kerajaan persekutuan akan mempertahankan PDA, memandangkan Sarawak dan Petros mempersoalkan peranan Petronas di bawah akta berkenaan.

Ahmad menegaskan bahawa Zaid dan Hassan masih terperangkap dalam ‘mindset era darurat’ apabila kuasa persekutuan tidak dipersoalkan selama 42 tahun.

“Tetapi era itu sudah berakhir. Malaysia kini kembali kepada perintah perlembagaan biasa. Sarawak kini berhak menguatkuasakan kuasanya di bawah Perjanjian Malaysia 1963, ordinan perlombongan dan Sarawak Land Code,” katanya.

Awal tahun ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata mereka bersetuju bahawa Petros akan menjadi pengagregat tunggal gas di negeri itu, manakala kedua-dua kerajaan mengiktiraf PDA sebagai ‘Akta Persekutuan seperti termaktub dalam peruntukan undang-undang’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.